Wednesday, December 10, 2014

Bakri Ibni harap Dollah perbaiki kelemahan


Jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh perlu merombak benteng pertahanan pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam, Khamis ini.

Bekas pemain tengah kebangsaan era 70-an, Bakri Ibni berkata kelonggaran di barisan pertahanan negara pada aksi pertama di Stadium Shah Alam, Ahad lalu menjadi punca kekalahan Malaysia 1-2 kepada Vietnam.

"Pada aksi di Shah Alam, saya lihat pemain pertahanan kita kerap meninggalkan posisi mereka membantu bahagian tengah ketika menyerang kubu Vietnam sehingga hanya tinggal dua pemain pertahanan.

"Ini memudahkan lawan melakukan serangan mengejut menerusi corak permainan pantas. Saya harap Dollah dapat memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan pada aksi di Hanoi nanti.

"Penyerang lawan mempunyai larian pantas ketika serangan balas," kata Bakri yang juga bekas pemain Perlis.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran edisi kedua Kejohanan Bola Sepak Bawah 19 Tahun Piala 1Malaysia anjuran Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), di sini, hari ini.

Bekas pengendali pasukan Perlis dari 1981 hingga 1983 itu turut bimbang moral skuad Harimau Malaya, terjejas pada aksi timbal balik berikutan tindakan liar segelintir penyokong negara menyerang penyokong Vietnam pada aksi di Shah Alam kerana tidak dapat menerima kekalahan tersebut.

-BERNAMA

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget