Tuesday, December 16, 2014

Aksi Kung Fu Cemari Piala Emas

Aksi kung fu. Itu yang dipamerkan pemain Kelantan dalam separuh akhir kedua Piala Emas Raja-Raja menentang Perlis di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin.

Aksi tersebut dipamerkan ketika pemain Perlis sedang berjalan menuju ke tempat duduk pasukan tuan rumah untuk bersalaman.

Seorang pemain Kelantan bertindak di luar kawalan dengan menyerang pemain dari negeri u­tara tanah air itu sehingga berlaku pergaduhan melibatkan pemain kedua-dua pasukan.

Dalam kekalutan itu, seorang lagi pemain Kelantan telah menyerang pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan yang ketika itu ber­ada di tengah padang akibat tidak berpuas hati dengan layangan kad merah.

Kekecohan itu akhirnya berjaya dileraikan oleh pasukan keselamatan dan pengawai kedua-dua pasukan.

Dalam perlawanan tersebut, Kelantan nyata bukan lawan Perlis apabila tumbang 0-3 di tangan skuad kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar.

Perlis mara ke pentas akhir dengan agregat 5-0.

Pertemuan tersebut mula panas apabila penjaga gol Kelantan, Nik Izani Nik Azhar diperintah keluar padang selepas mengasari pemain pelawat, Mohd. Shafiq Azmi dalam kotak penalti pada minit ke-17.

Nashrul Shazrin Roslan tenang menyempurnakan peluang itu untuk gol pertama Perlis seminit kemudian.

Bersambung babak kedua, tuan rumah terus dirundung malang apabila kehilangan seorang lagi pemain, Mohd. Hafizi Saupi yang dilayangkan kad merah pada minit ke-48 selepas dengan sengaja menampan bola menggunakan ta­ngan di depan pintu gol Kelantan.

Gara-gara tindakan itu, Perlis dihadiah sepakan penalti kedua, dan Rosmandi Othman tenang menyempurnakan jaringan kedua pasukannya pada minit ke-50.

Pelawat terus menambah derita tuan rumah menerusi gol ketiga pada minit ke-63 hasil jaringan Mohd. Shafiq Azmi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Datuk Takiyuddin Hassan ketika dihubungi berkata, pihaknya memandang serius insiden pergaduhan itu dan akan menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, beliau akan menunggu laporan penuh daripada pegawai perlawanan yang bertugas sebelum mengambil tindakan.

“Sekiranya ada pemain Kelantan yang terlibat dan didapati bersalah, kita tidak akan teragak-agak untuk senarai hitamkan nama mereka.

“Mereka tidak boleh menyertai sebarang kejohanan anjuran PBSMM,” tegasnya.
Katanya lagi, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh mencemarkan imej pasukan.

-UTUSAN


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget