Selepas menjadi pemusnah Malaysia dengan meledak dua gol dalam aksi peringkat kumpulan pada 26 November lalu, Adisak Kraisorn mahu menyumbat gol yang lebih bermakna apabila berdepan Harimau Malaya dalam final pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Rajamangala, esok.
“Saya menembusi pintu gol Malaysia dalam peringkat kumpulan dan mahu melakukannya sekali lagi untuk menggembirakan penyokong Thailand,” kata penyerang muda itu kepada The Bangkok Post.
Adisak, 23, yang dibawa masuk dari bangku simpanan dalam perlawanan tersebut, menjaringkan dua gol, termasuk gol kemenangan pada waktu kecederaan untuk membantu Thailand menundukkan Malaysia 3-2 di Singapura.
Dia digantung perlawanan ketika Thailand membenam Filipina 3-0 dalam separuh akhir kedua di Bangkok selepas dibuang padang dalam perlawanan yang berkesudahan seri 0-0 di Manila.
“Saya gembira rakan-rakan saya bermain dengan baik untuk membawa kami ke final.
“Malaysia antara pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara dan saya akan cuba membolosi gawang mereka untuk membantu kami menjulang kejuaraan buat kali keempat,” kata penyerang kelab BEC Tero Sasana itu lagi.
Adisak meledak lima gol buat skuad Bawah 23 Tahun Thailand dalam Sukan Asia 2014 di Incheon untuk membantu pasukannya menamatkan kempen di tangga keempat.
Dia juga membantu Buriram United mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Thailand, namun amat mengejutkan apabila Buriram menjualnya kepada BEC Tero Sasana beberapa minggu lalu.
Jurulatih Thailand, Kiatisak Senamuang berkata, walaupun pasukannya berjaya membuktikan kemampuan tanpa Adisak dengan membenam Filipina, namun dia tetap mahu memberi kepercayaan kepada penyerang muda itu untuk beraksi di pentas akhir.
“Kami mahu beri peluang kepada Adisak beraksi di final.
“Sekarang, dia sudah sedar tentang kesilapan yang dilakukan (dalam separuh akhir pertama).
“Dia mahu kembali dan membuktikan kepada penyokong apa yang mampu disumbangkan kepada pasukan.
“Dia berada pada keyakinan tertinggi dan bersedia untuk meledak gol dalam perlawanan akhir,” kata Kiatisak.
Pada ketika penyerang utama, Kirati Kaewsombut digugurkan akibat kecederaan, kepulangan Adisak memberi lebih banyak pilihan buat Kiatisak di bahagian depan.
Kiatisak sebelum ini menggunakan pemain tengah, Chanathip Sonkrasin sebagai penyerang tunggal dalam separuh akhir kedua, dan strategi tersebut nyata menjadi.
– AGENSI
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop