Thursday, December 4, 2014

Abdoulaye Faye sertai Sabah


SELEPAS berjaya membawa masuk El Hadji Diouf, Sabah Rhinos sekali lagi membuat kejutan apabila mengumumkan bakal mengikat bekas bintang Hull City dan Senegal, Abdoulaye Faye, 36.

Pemain yang pernah beraksi bersama beberapa kelab di Liga Perdana Inggeris itu tiba di Kota Kinabalu kira-kira jam 6.15 petang tadi untuk proses terakhir bagi membolehkan beliau menyarung jersi pasukan utama negeri, musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Rhinos, Datuk Seri Panglima TC Goh ketika mengumumkan perkara itu, berkata keputusan dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan pasukan.


Katanya, posisi pertahanan perlu diisi oleh pemain yang benar-benar berkualiti selepas khidmat pemain tinggi lampai dari Brazil, Tales Ricarte Dos Santos tidak dapat menyertai pasukan.

“Pasukan perlu menjaringkan gol dan pada masa sama perlu mengelak daripada dijaringkan gol, oleh itu kita harus membawa masuk seorang pertahanan yang berkualiti untuk membantu pasukan musim depan.

“Kita tidak bernasib baik kerana gagal mendapatkan khidmat Santos, dia seorang pemain yang bagus namun atas sedikit masalah teknikal serta peraturan yang harus dipatuhi, kita terpaksa lepaskan dia ke kelab asalnya.

“Pasukan memang mahu mengikat beliau (Santos), namun kita hanya dibenarkan untuk memiliki empat pemain import saja…kita terpaksa membuat keputusan yang terbaik,” katanya ketika ditemui.

Selain Goh, turut hadir menyambut ketibaan Faye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ialah pengurus pasukan, George O’Callaghan dan pembantunya, Rahman Zakaria.

Faye sebelum ini pernah beraksi bersama Bolton Wanderes pada tahun 2005 hingga 2007, Newcastle United (2007-2008), Stoke City (2008-2011), Wes Ham United (2011-2012) dan kelab terakhir beliau bersama Hull City (2012-2014).

Beliau juga mempunyai 35 penampilan bersama skuad kebangsaan Senegal dari tahun 2002 hingga 2010.

Selain Diouf dan Faye, seorang lagi pemain import dari Libya, Eamon Zayed akan turut memperkuatkan Sabah Rhinos bagi menghadapi cabaran Liga Malaysia 2015.

Manakala bagi kouta pemain import dari Asia, Goh berkata beliau akan mengumumkan pemain terbabit, esok.

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget