Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilantik sebagai penasihat kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Tengku Abdullah bertitah pelantikan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu bertujuan membantu FAM memantapkan lagi keseluruhan pasukan senior dan junior kebangsaan.
Tunku Ismail sebelum ini terkenal dengan kelantangan baginda menyuarakan pendapat bagi memastikan mutu bola sepak negara terus diperjuang.
Mengulas pelantikan itu, Tunku Ismail bertitah baginda akan memberi cadangan serta membuat perancangan terbaik ke arah mencapai visi dan misi FAM dalam mewujudkan satu pasukan kebangsaan yang kompetitif.
"Saya mahu melihat kemajuan pasukan kebangsaan dalam semua aspek, bukan sahaja kualiti liga, tetapi pencapaian pasukan kebangsaan kita.
"Tetapi saya tahu hasil bukan boleh dapat dalam setahun atau dua tahun, kalau kita mula melakukan perkara yang betul sekarang, dalam beberapa tahun akan datang, kita akan dapat satu pencapaian," titah baginda selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pasukan kebangsaan yang dipengerusikan Tengku Abdullah di Hotel Royal Chulan di sini hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh, Jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee dan pegawai tertinggi FAM.
Sementara itu, Tengku Abdullah bertitah dalam mempersiapkan skuad Harimau Malaya menghadapi Piala AFF Suzuki 2014, pasukan kendalian Dollah akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Filipina, Syria dan Vietnam.
Tarikh ketiga-tiga perlawanan akan dimaklum kemudian.
Berikutan itu, tarikh final Piala Malaysia ditukar kepada 1 Nov dan ini sekali gus membabitkan perubahan tarikh bagi suku akhir kedua (10-11 Okt), separuh akhir pertama (17-18 Okt) dan separuh akhir kedua (24-25 Okt) bagi memastikan pemain yang beraksi di Piala AFF Suzuki dapat membuat persiapan terbaik.
Piala AFF Suzuki 2014 akan berlangsung di Singapura dan Vietnam dari 22 Nov hingga 20 Dis ini.
-- BERNAMA
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop