Tuesday, October 7, 2014

Salah mereka yang menguruskan sukan - Dr Khoo Kay Kim

“Ini masalah besar. Sukan negara sudah lama merosot dan salah mereka yang menguruskan sukan!”

Itu kata-kata pedih, tetapi ada benarnya apa yang dinyatakan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mengenai pencapaian negara di Sukan Asia 2014 Incheon.

Pengkritik sukan itu turut mengakui mereka yang dipilih untuk menguruskan sukan kebanyakannya tidak faham dan kurang minat seterusnya membawa bencana buat persatuan mahupun atlet itu sendiri.

Jelasnya, mereka yang menguruskan sukan sekarang ini suka buat janji, tetapi tidak tahu apa kelemahan dan kekuatan atlet negara.
Foto

“Akhirnya keputusannya sangat memalukan, saya mengikuti perkembangan sukan negara. Jangan buat janji mahu menang lapan emas.

“Lapan emas bukannya banyak, tapi itu pun tidak tercapai. Mereka bukan tahu maju atau merosot sesuatu acara itu,” katanya.

Walaupun tidak menyebut secara terbuka siapa yang sepatutnya dipersalahkan, Kay Kim mahu semua sedar bahawa situasi sukan negara sangat berbeza berbanding era 50-an dan 60-an.

“Di mana kita selepas melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 dan 1980 dalam acara bola sepak serta muncul juara badminton All England dari 1950 hingga 1957.

“Sejak 1970, sukan negara sudah mula merosot, ini kerana mereka yang menguruskan sukan sebelum itu, tidak pernah harapkan bayaran, sekarang ini lebih kepada mengambil kesempatan,” kata Kay Kim.

Tambahnya, sekarang ini siapa yang menguruskan sukan perlu faham apa makna sukan, bukan orang yang berpengaruh saja perlu ada jawatan dalam persatuan.

“Berpengaruh tidak bererti tahu pasal sukan. Sukan bukan perkara biasa dan mereka perlu mengkajinya dengan teliti. Jadi nasihat saya kepada mereka yang menguruskan sukan, kenal pasti setiap kelemahan,” jelasnya.

Kontinjen negara sebelum ini menyasarkan memenangi lapan emas di Incheon namun hanya meraih lima di temasya yang berakhir Sabtu lalu itu.



Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget