Friday, September 26, 2014

Azizulhasni kecewa, Josiah mungkin akan bersara.

Foto

Incheon: Kontroversi Sukan Komanwel New Delhi 2010 sekali lagi menimpa jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang yang kecewa dibatalkan pingat perak acara keirin lelaki Sukan Asia di Velodrom Antarabangsa Incheon, semalam.

Kekecewaan itu menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian 1-2 di Guangzhou 2010 apabila Azizulhasni meraih emas dan Josiah Ng, perak.

Azizulhasni didapati bersalah memasuki lorong pecut ketika seorang pelumba lain sudah berada di situ dalam ulang tayang rakaman perlumbaan oleh komisar selepas mendapat bantahan. Berikutan pembatalan itu dia diturunkan ke tangga keenam.

Bagaimanapun, Josiah yang menamatkan perlumbaan di tangga keempat dinaikkan ke tangga ketiga dan meraih gangsa.

AZIZULHASNI (dua kanan) didakwa memasuki lorong pecut.

Acara itu dimenangi pelumba Iran, Mohamad Daneshvarkhourram manakala pelumba Jepun, Kazunari Watanabe yang menduduki tangga ketiga menerima perak.

Insiden itu seakan-akan ulangan Sukan Komanwel New Delhi empat tahun lalu apabila kemenangan Azizulhasni dibatalkan berikutan tunggangan berbahaya.

“Saya memang kecewa, pertama kerana gagal mempertahankan emas, lepas itu saya hilang perak pula. Daripada ulang tayang, jelas pelumba Jepun (Watanabe) dulu yang melakukan kesalahan menghalang dan memasuki lorong sebelum saya turut didapati berbuat demikian selepas itu.

“Sepatutnya pelumba Jepun itu dibatalkan kemenangan untuk membolehkan saya dan Josiah menang perak dan gangsa kerana Watanabe dulu melakukan kesalahan, tapi saya terkejut kerana kemenangan saya pula yang dibatalkan.

“Jika mahu adil, sepatutnya kemenangan pelumba Jepun itu juga dibatalkan. Saya memang terkejut dan tak berpuas hati,” jelas Azizulhasni.

Josiah yang mengaku Sukan Asia ini pentas terakhirnya berdasarkan faktor usia, kecewa kerana dia dan Azizulhasni gagal mengulangi kejayaan 1-2 di Guangzhou 2010.

“Dua pelumba Jepun (Watanabe dan Yuta Wakimoto) jelas memberi fokus kepada saya dan Azizulhasni. Ini membolehkan pelumba Iran yang tidak diberi perhatian mencelah dan melakukan henjutan dari belakang,” kata pelumba berusia 34 tahun itu yang akan mempertimbangkan untuk bersara atau sebaliknya selepas temasya ini.

Sumber: myMetro

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget