Wednesday, March 5, 2014

Ultras Malaya akan terus desak FAM

 
KUALA LUMPUR - Tiada apa-apa tindakan terhadap cadangan yang dilontarkan sebelum ini kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyebabkan kumpulan penyokong tegar skuad bola sepak negara, Ultras Malaya seakan meragui ketelusan badan induk tersebut dalam mencari jalan penyelesaian bersama. 

Semalam, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta agar FAM dan Ultras Malaya mencari satu jalan penyelesaian bersama supaya insiden membakar suar dan mercun yang berlaku di Stadium Selayang ketika perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Filipina tidak berulang.

Kata wakil kumpulan yang mahu dikenali sebagai Presiden FAM Sila Letak Jawatan (PFSLJ), Afadli Awaluddin, sebagai penyokong bola sepak tempatan mereka mahu melihat perubahan positif dalam sukan tersebut selain bersedia jika dipanggil berunding menyelesaikan kemelut ketika ini.

"Objektif kami bukan untuk bermusuh dengan FAM tetapi kami sebagai penyokong mahu melihat perubahan yang lebih baik dalam sukan bola sepak dan sistem baharu dalam pentadbiran badan induk tersebut kerana kami tidak mahu bola sepak negara terus tenggelam.

"Sebelum ini kami pernah bertemu dengan FAM dan memberikan pelbagai cadangan termasuk berkaitan soal keselamatan dan sebagainya namun hingga kini tiada apa-apa tindakan yang dilakukan oleh FAM...kami tidak mahu cadangan yang kami suarakan habis begitu sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Perlawanan Malaysia menentang Filipina pada Sabtu lalu terpaksa dihentikan selama lapan minit apabila kumpulan penyokong dari kelompok Ultras Malaya membakar suar dan membaling bom asap pada minit ke-31 perlawanan.

Insiden tersebut terus mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan perbuatan itu sebagai melampau. Khairy turut meminta Ultras Malaya menggunakan saluran betul untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

Sementara itu, Afadli turut berharap agar FAM tidak terlalu hanya memberikan tumpuan terhadap insiden selama lapan minit di Stadium Selayang itu tetapi harus berusaha memahami isi hati penyokong bola sepak tempatan yang inginkan skuad negara cemerlang.

"Sekiranya tiada apa-apa perubahan yang dilakukan dan kualiti bola sepak terus merudum maka kami akan terus mendesak FAM.

"Apa yang kami lakukan ini tidak mempunyai kepentingan individu tetapi adalah suara penyokong bola sepak Malaysia yang ingin melihat mutu bola sepak negara ini setanding di peringkat Asia dan dunia," kata Afadli.


Recent Comments Widget