Thursday, September 3, 2015

Sidang Media Malaysia vs UAE


Malaysia vs UAE

Sidang Media Malaysia vs UAE


Berikut komen ketua jurulatih Malaysia, Dollah Salleh dan ketua pasukannya, Safiq Rahim serta ketua jurulatih UAE, Mahdi Ali serta pemainnya, Ismail Al Hammadi pada sidang media praperlawanan di Stadium Mohamed Bin Zayed, Abu Dhabi, hari ini.

Perlawanan Kumpulan A bagi Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, UAE bertemu Malaysia akan berlangsung esok (Khamis) di stadium berkenaan, jam 7.15 malam (11.15 malam waktu Malaysia).

Malaysia kini di tangga ke-168 dunia dalam ranking FIFA manakala UAE di tangga ke-70.

KOMEN JURULATIH MALAYSIA, DOLLAH SALLEH

"Kami menghadapi Bangladesh untuk satu perlawanan persahabatan (Sabtu lalu) dan gagal meraih kemenangan apabila sekadar seri 0-0. Jadi persiapan menghadapi UAE ini boleh dianggap tidak begitu sempurna.

"Tapi berdasarkan persembahan pemain ketika separuh masa kedua aksi bertemu Bangladesh itu, mereka beraksi dengan baik. Cuma masalah utama kami, penyerang gagal menjaringkan gol.

"Untuk berdepan UAE, bukan tugas mudah kerana mereka boleh dianggap salah satu pasukan terbaik di Asia. Namun misi kami ke Abu Dhabi ini bukan untuk bertahan, tapi mahu memastikan sekurang-kurang satu mata dapat dibawa pulang. Itu sudah memadai.

"Selepas kami tewas 6-0 kepada Palestin pada perlawanan terdahulu, saya yakin pemain mahu memandang ke hadapan untuk memberikan terbaik pada perlawanan menentang UAE esok. Insya-Allah."

KOMEN KAPTEN MALAYSIA, SAFIQ RAHIM

"Sudah tentu UAE antara pasukan terbaik di Asia. Tapi kami takkan beri laluan mudah buat mereka. Kami akan memberikan persembahan terbaik, sepenuh komitmen dan fokus seratus peratus bagi perlawanan esok.

"Sasaran kami ialah untuk mendapatkan mata dan memastikan satu keputusan positif dapat dibawa balik dari Abu Dhabi.

"Jadi saya rasa kami mampu untuk berikan sepenuh komitmen, tumpuan, disiplin dan mengikut arahan serta taktikal jurulatih. Yang paling penting, disiplin dalam permainan."

KOMEN JURULATIH UAE, MAHDI ALI

"Ini perlawanan penting bagi kami. Jadi kami cukup bersedia untuk menghadapi perlawanan ini. Kami tahu, faktor cuaca panas dan kelembapan tinggi ketika ini tetapi itu bukan alasan utama.

"Liga di negara lain seperti Qatar dan Arab Saudi pun sudah bermula pertengahan Ogos lalu. Memang faktor cuaca panas ini akan memberi kesan kepada kedua-dua pasukan tetapi ia sudah dalam kalendar FIFA, jadi kami perlu menanganinya.

"Mengenai perlawanan bertemu Malaysia ini, saya tak anggap ia perlawanan mudah atau sukar kerana tiada yang mustahil apabila kita dapat lihat, semua pasukan negara Asia sudah meningkat sejak tiga atau empat tahun kebelakangan ini.

"Jadi kami perlu hormati Malaysia dan memikirkan apa yang perlu dilakukan bagi menghadapi perlawanan ini walaupun mereka tewas 6-0 kepada Palestin pada aksi terdahulu. Itu bukan gambaran sebenar mengenai apa yang bakal ditampilkan pasukan Malaysia esok.

"Kami perlu menjaringkan gol dan mendapatkan keputusan positif daripada perlawanan ini."

KOMEN PEMAIN UAE, ISMAIL AL HAMMADI

"Kami melakukan persiapan rapi untuk perlawanan ini kerana ia penting untuk meneruskan peluang kami dalam kempen kelayakan ini dan impian layak ke Piala Dunia 2018 di Russia.

"Jadi kami perlu berharap kepada kemampuan pasukan kami, beraksi mengikut arahan jurulatih dan kami sememangnya cukup teruja untuk turun beraksi perlawanan esok.

"Pemain akan cuba beri fokus seratus peratus dan kami mengharapkan satu keputusan baik daripada perlawanan bertemu Malaysia ini."


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget