Monday, May 11, 2015

Piala Sudirman 2015

Piala Sudirman 2015

Datuk Lee Chong Wei membuat kepulangan sempurna selepas bebas daripada penggantungan apabila mencatat kemenangan dan membantu Malaysia mengejutkan juara tiga kali, Korea Selatan 3-2 dalam aksi pembukaan kejohanan badminton Piala Sudirman di Dongguan, China, semalam.


Chong Wei, yang menjadi tumpuan utama kejohanan sejak dibebaskan daripada penggantungan lapan bulan tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan pemain Korea, Lee Dong Keun 21-12, 21-10 dalam tempoh 45 minit untuk menghadiahkan mata kedua Malaysia.

Highlight Korea vs Malaysia

Terdahulu, pasangan muda negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong memberikan mata pertama pasukan negara selepas melakar kejutan besar ke atas beregu No. 1 dunia, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong 20-22, 21-14, 27-25 dalam pertarungan lebih sejam untuk kedudukan 1-0.

Korea bagaimanapun menyamakan kedudukan 1-1 selepas pemain muda negara, Lim Yin Fun kalah mudah 9-21, 7-21 kepada pemain No. 7 dunia, Sung Ji Hyun.

Selepas Chong Wei menjadikan kedudukan 2-1, Korea kembali mengikat kedudukan 2-2 setelah beregu wanita, Vivian Kah Mun Hoo-Woon Khe Wei tewas di tangan pasangan ranking ke-75, Chang Ye Na-Jung Kyung Eun 20-22, 9-21.

Kedudukan genting, beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying muncul wira apabila mengesahkan mata kemenangan Malaysia dengan mengejutkan pasangan No. 8 dunia, Kim Ha Na-Ko Sung Hyun 21-23, 13-21.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini sebab selepas tujuh bulan tidak bermain, mood pertandingan masih lagi ada.

“Harap, esok (hari ini) saya dapat bermain dengan lebih baik lagi ketika menentang India.

“Saya juga gembira dapat me­nyumbang mata untuk Malaysia walaupun bukan mata pertama. Wee Kiong dan V Shem juga bermain dengan cemerlang hari ini dan saya percaya mereka boleh meneruskan momentum esok.

“Ini merupakan cara berpasukan. Jadi, semangat berpasukan itu penting. Sekarang, saya ha­nya mahu fikirkan tentang Piala Sudirman dan fokus satu-satu perlawanan,” katanya.

Malaysia akan mengesahkan tiket ke suku akhir andai mengalahkan India dalam satu lagi perlawanan Kumpulan 1D hari ini.

Sementara itu, pilihan utama, China memulakan kempen de­ngan bergaya apabila membelasah Jerman 5-0, manakala Jepun menun­dukkan Rusia 4-1 dan Denmark menang 4-1 ke atas England.

Perlawanan penuh Korea vs Malaysia


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget