Monday, October 27, 2014

Tan Cheng Hoe: Pengalaman berguna untuk skuad Kedah


Pengalaman berguna. Apa lagi yang boleh dikatakan jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe selepas pasukannya tewas 0-5 kepada Pahang dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Jumaat lalu.

Bagi Cheng Hoe, pengalaman bermain dalam perlawanan besar seperti itu amat penting buat pasukan Lang Merah musim ini yang dibarisi ramai pemain muda kerana mereka mempunyai masa depan yang cerah.

Katanya, dari satu perlawanan ke satu perlawanan skuad ini telah menunjukkan perkemba­ngan membanggakan dan ini satu perkara yang baik untuk semua peminat.

“Jadi saya harap penyokong Kedah akan terus memberi sokongan kepada skuad Lang Merah dalam menempuh aksi Liga Malaysia musim depan.

“Skuad ini dibarisi pemain yang berpontensi dan mereka mampu membawa pulang kejuaraan yang diharapkan pada masa depan,” katanya.

Ditanya mengenai masa depannya bersama pasukan Kedah, Cheng Hoe berkata, segalanya terpulang kepada tawaran Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

“Kalau ditawarkan saya pasti berminat,” kata bekas penolong jurulatih kebangsaan itu.

Mengenai perlawanan Jumaat lalu, Cheng Hoe berkata, gol pertama Pahang oleh Matias Conti pada minit ketiga adalah pemusnah segala harapan buat Kedah .

Jelas, pemainnya tidak dapat bermain mengikut rentak sebenar apabila dibolosi pada minit-minit awal.

Namun katanya, secara keseluruhan, Kedah masih dapat memberikan tentangan seperti yang ditunjukkan pada separuh masa kedua menerusi beberapa sera­ngan yang hampir membuahkan hasil.

“Andainya kami berjaya mencuri satu gol pada separuh masa kedua, saya percaya Kedah mampu menunjukkan kebangkitan.

“Namun, gol yang diharapkan tidak menjadi kenyataan sebaliknya Pahang pula yang menambahkan jaringan kelima pada minit ke-73,” ujarnya lagi.

-UTUSAN

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget