“Sebagai buruh binaan tiada apa yang mampu saya hadiahkan, selain daripada sedekahkan surah Al-Fatihah setiap kali menunaikan solat,” kata Mat Lazim Ali mengenai kejayaan anaknya Mohammad Azlan meraih tiga pingat emas pada Sukan Para Asia 2014 di Incheon.
Azlan mempersembahkan aksi cemerlang di Korea Selatan dengan membawa pulang tiga emas menerusi acara 100 meter, 200m dan 400m lelaki dalam kategori kecacatan T38 dan T36.
Mat Lazim berkata, beliau bangga dengan kejayaan anaknya dan bersyukur kepada Allah SWT kerana membantu anaknya yang terpaksa bersusah payah selama ini.
Katanya sebelum ini Mohammad Azlan hampir berputus asa kerana kerap mengalami kesakitan di bahagian kaki. Masalah itu dihadapi sebelum menjadi atlet lagi.
“Dia (Azlan) ada mengadu kepada saya dan isteri saya bahawa dia ‘patah hati’ dan tidak mahu meneruskan latihan di Bukit Jalil kerana kerap mengalami kesakitan.
“Saya dan isteri memberi kata-kata semangat kepada dia untuk terus berusaha kerana jika dia pulang ke Kemaman, Terengganu nanti, tidak ada apa yang dapat dia lakukan, selain duduk di rumah,” katanya.
Katanya harapannya kini untuk melihat anaknya mencatatkan lebih banyak kejayaan dan beraksi di peringkat Sukan Olimpik.
Ibu Mohammad Azlan, Rohani Abu Bakar, 49, pula berkata, beliau tidak menjangka anaknya mampu memenangi tiga pingat emas dan menyifatkannya sebagai rezeki daripada Allah SWT.
“Saya tidak sangka Azlan boleh menang pingat ini, saya bersyukur dengan kejayaan tersebut,” katanya dan menurutnya setiap kali menunaikan solat dia akan sentiasa mendoakan kejayaan anaknya.
Kontinjen negara yang dibarisi 135 atlet paralimpik menunjukkan peningkatan prestasi apabila secara keseluruhannya meraih 15 pingat emas, 20 perak dan 27 gangsa.
Temasya terbesar di rantau Asia itu yang bermula pada 18 Oktober dan menutup tirai Jumaat lalu, mempertandingkan 23 acara, namun Malaysia hanya menyertai 15 acara. Pada temasya sama di Guangzhou, Malaysia hanya meraih sembilan pingat emas, 13 perak dan 23 gangsa. – BERNAMA
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop