Thursday, October 16, 2014

Sokongan fanatik dalam konteks Asia Tenggara – Pengalaman Ultras Malaya


Setiap kumpulan penyokong bolasepak mahu digelar sebagai kumpulan yang paling fanatik. Lebih fanatik dari penyokong pasukan-pasukan lawan mereka, terutamanya pasukan musuh tradisi. Bagaimanakah sikap fanatik ini ditafsirkan, dan kemudiannya dizahirkan? Ada yang menganggapnya sebagai menyanyikan ‘chants’ dengan lebih lantang dari penyokong lawan, ada yang membuktikannya dengan mencetak ‘tifo’, ‘choreo’ dan sepanduk-sepanduk yang lebih meriah dan berwarna-warni, yang lainnya pula dengan mengikuti pasukan cinta hati masing-masing ke perlawanan di tempat lawan yang paling jauh sekalipun, namun ada pula yang membuktikannya dengan berapa ramai penyokong lawan yang dapat ditamatkan nyawanya.

Kami, penyokong bolasepak Malaysia secara amnya, dan Ultras Malaya secara khususnya, turut mahu percaya bahawa kami juga penyokong fanatik, dalam sebuah persekitaran bolasepak yang masih merasai kesan skandal mengatur perlawanan yang berlaku pada pertengahan dekad 90’an. Sebelum itu, pasukan bolasepak kami merupakan salah sebuah pesaing utama di peringkat Asia. Buktinya, Jepun telah hadir belajar cara-cara mentadbir liga tempatan dari kami sebelum Liga-J mereka ditubuhkan. Di samping itu, penyokong generasi itu juga amat fanatik. Stadium selalu dipenuhi semasa perlawanan, pergaduhan antara penyokong-penyokong lawan turut kerap tercetus. Tetapi selepas skandal itu tercetus, penyokong-penyokong mula menjauhi bolasepak tempatan, dan ditambah pula dengan kemunculan akses kepada bolasepak Inggeris dan Eropah melalui stesyen TV satelit, bolasepak tempatan kami suram. Stadium hanya dipenuhi semasa perlawanan-perlawanan akhir, dan itu pun berharapkan kepada tiket-tiket percuma dari ahli-ahli politik tempatan. Generasi muda lebih berminat kepada bolasepak luar negara yang lebih gah, dan siapa yang boleh menyalahkan mereka, dengan tindak-tanduk persatuan-persatuan yang enggan memodenkan strategi pengurusan mereka, dan membiarkan ranking FIFA Malaysia jatuh merudum?

Kemunculan Ultras Malaya pada tahun 2007 sudah banyak dicoretkan di sumber-sumber bacaan lain. Tidak perlu kami ulanginya di sini. Tetapi sekadar untuk kesimpulan, sekumpulan anak-anak muda penyokong Malaysia yang sakit hati dengan persembahan hambar Harimau Malaya di Piala Asia 2007, berbincang di sebuah forum Internet, dan membuat keputusan untuk bergiat dengan lebih proaktif dalam menyokong pasukan Malaysia, dan mengumpulkan ramai lagi penyokong yang sama, melalui gaya sokongan yang lebih vokal dan tampak, yang berasal dari Eropah. Pergerakan ‘ultras’ ini seterusnya berkembang dengan kemunculan kumpulan-kumpulan ultras yang menyokong pasukan-pasukan Liga Super Malaysia (MSL). Selebihnya adalah sejarah.

Tetapi apa yang kurang mendapat perhatian adalah kelainan modus operandi kami. Di samping usaha menyokong pasukan, kami turut menitikberatkan usaha menekan persatuan-persatuan bolasepak negeri dan negara kami supaya berubah dan meninggalkan mentaliti bolasepak dekad 80’an dan 90’an, dekad kemalapan bolasepak Malaysia. Kami masuk campur, bising-bising dan buat kecoh. Kami nyanyikan ‘chant’ yang mengecam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di stadium-stadium, kami persoalkan tindakan mereka yang tak masuk akal, dan memboikot perlawanan-perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab gergasi Eropah yang tidak memberikan mata ranking (kami gelarkannya ‘perlawanan sarkas’), hanya keuntungan kepada pihak-pihak tertentu. Lagipun kemalapan pasukan hanyalah simptom penyakitnya, dan penyakit sebenarnya adalah kegagalan FAM untuk menjalankan tugas mereka. FAM enggan mengkaji dan menuruti kaedah bolasepak moden, lebih gemar melakukan perkara yang sama dan yang senang di bawah presidennya yang terdahulu, Sultan Ahmad Shah yang telah menjawat jawatan itu selama 30 tahun tanpa membawa apa-apa kemajuan.

Dan untuk menjalankan tindakan menekan ini yang memerlukan sumber-sumber dan tenaga yang banyak, kami juga menumpukan kepada usaha-usaha mengumpulkan ahli, yang kami gelar ‘komrad’, dari seluruh negara. Ini bermakna menyatukan penyokong-penyokong pasukan-pasukan liga tempatan yang berbeza untuk bekerja bersama-sama dan memiliki hala tujuan am yang sama. Ini bukannya tugas yang boleh dilakukan hanya 100-200 orang komrad. Kami harus bersatu.

Penyokong bolasepak di seluruh dunia jarang dapat dipisahkan dari keganasan, apatah lagi sikap tribalisme dan assabiyah. Lihat saja penyokong AC Milan dan Inter Milan, walaupun mereka menghuni bandaraya yang sama. Atas sebab ini, ramai yang mengkritik kami sebagai bukan penyokong sebenar kerana boleh bersahabat dan bersalam-salaman dengan penyokong pasukan lawan (tempatan), dan tidak membenci mereka. Tetapi mereka lupa, apa gunanya bergaduh dan berbunuhan kalau ranking negara hanyalah 150, kalau setiap kali bertemu negara-negara rantau Asia lain, kekalahan sudah dapat dijangka, hanya besar atau kecil beza jaringannya yang dapat diteka. Dan ini yang kami rasa patut dipertimbangkan penyokong-penyokong di Asia Tenggara. Kita mempunyai potensi dari segi penyokong dan sokongan, tetapi ia tidak digunakan dengan baik untuk mendesak supaya adanya perubahan dalam pentadbiran bolasepak tempatan, hanya ditumpukan untuk mendabik dada dan bertikam sesama sendiri, bermegah-megah menunjukkan kejantanan demi reputasi jaguh kampung. Kecuali beberapa pasukan seperti Thailand, pasukan-pasukan Asia Tenggara hanyalah jaguh kampung, rendah ranking, yang hanya boleh berharapan untuk memenangi Piala Suzuki dan bukan kejohanan di peringkat yang lebih tinggi.

Kami percaya yang kehadiran kami telah berjaya membawa kejayaan. Kami percaya yang kehadiran kami telah berjaya membawa kembali rakyat Malaysia untuk mengikuti perlawanan pasukan kebangsaan dan liga tempatan selepas era kemalapan 90’an, dan juga membantu pasukan Malaysia memenangi Piala AFF pada tahun 2010, kali pertama kejuaraan itu menjadi milik kami. Dan yang paling penting, kejayaan paling besar kami adalah meyakinkan bekas presiden FAM selama 30 tahun tadi, untuk turun dari kedudukannya. Dalam kongres FAM pada pertengahan tahun ini, baginda tidak lagi bertanding dan melepaskan jawatan ini. Ini kami lakukan dengan kempen menggantung panji-panji yang mengkritik FAM di seluruh negara dan juga di alam maya, dan juga melaksanakan gangguan perlawanan sewaktu perlawanan antarabangsa di antara Malaysia dan Filipina pada 1 Mac 2014. Ini bukan sesuatu yang senang bagi sekumpulan anak-anak muda yang bergerak secara bebas tanpa menerima dana daripada pihak-pihak luar.

Ini kejayaan yang kami perolehi dengan memilih apa yang patut ditentangi. Kami boleh zahirkan sikap fanatik kami dengan bergaduh, berperang dan memprovokasi penyokong lawan, dan polis, dan merusuh dan membakar sesuka hati, tetapi bukan ini yang kami lakukan. Apa gunanya kelihatan ‘hardcore’ dan fanatik, jika hasilnya kami dipenjarakan beramai-ramai, dan menguburkan pergerakan setahun jagung ini? Kami harus bersikap fanatik secara berhemat dan bijak.
Inilah yang kami ingin cuba tampilkan di rantau Asia Tenggara ini, sebuah rantau di mana bolasepaknya berkualiti rendah walaupun mempunyai potensi sokongan yang amat kuat. Di Malaysia, kami gelarkannya sebagai ‘menang sorak’.

Mungkin masih ada yang masih mempersoalkan takrifan ‘fanatik’ kami, tetapi kami ada kejayaan sebagai bukti. Dan jangan dilupa, walaupun bekas presiden kami telah meletak jawatan dalam FAM, baginda melakukannya kerana hendak menumpukan kepada jawatan barunya, presiden persekutuan bolasepak Asia Tenggara (AFF). Baginda telah merosakkan bolasepak kami selama 30 tahun memegang jawatan, cuba bayangkan kerosakan yang beliau akan lakukan kepada bolasepak Asia Tenggara sebagai presiden AFF, yang turut bakal melibatkan bolasepak negara-negara kalian. Tidak dapat kami nafikan, kami mahu turunkannya di peringkat Asia Tenggara pula, dan ini bukan sesuatu yang dapat dilakukan kami dari Malaysia sahaja. Ia memerlukan kerjasama semua mereka yang mengakui cintakan bolasepak tempatan di rantau ini. Sampai bila kita mahu membuang tenaga bertelagah sesama sendiri, jika lebih baik kita bekerjasama untuk memajukannya?

Di masa depan, tugas kami masih belum berakhir. Walaupun Sultan Ahmad Shah turun jawatan sebagai presiden FAM, jawatan itu kemudiannya disandang puteranya, Tengku Abdullah walaupun ini bukanlah jawatan monarki yang diturunkan dari bapa kepada anak. Kami harus menekan beliau dan FAM untuk sentiasa menjalankan tugas mereka, dan memenuhi janji-janji mereka sebelum kongres tahun ini.

Dan satu lagi, diberitakan bahawa kongres FIFA (FIFA, bukan FAM, bukan AFF, bukan AFC) akan dijalankan di Malaysia pada tahun 2017. Seronok juga kalau kita di rantau Asia boleh buktikan sikap fanatik (secara bijak) kita kepada bolasepak global, tidakkah begitu?

-L-


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget