Tuesday, October 14, 2014

Hoki Piala Sultan Johor 2014: Malaysia seri 1-1 menentang New Zealand


Malaysia seri 1-1 dengan New Zealand pada perlawanan kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2014 di Stadium Hoki Taman Daya di sini malam ini.

Malaysia mendahului 1-0 melalui pukulan sudut penalti yang diambil Mohd Najmi Jazlan pada minit ke-12 namun jangkaan bahawa mereka akan bangkit meleset apabila tidak dapat menambah bilangan gol sehingga tamat separuh masa pertama.

New Zealand, yang dibimbing jurulatih Bryce Collins, juga gagal menghasilkan sebarang gol meskipun mendapat dua pukulan sudut penalti.

Pasukan itu, yang tewas kepada India 1-2 semalam, menyamakan kedudukan pada minit ke-46 melalui jaringan gol padang oleh Ben Radovonich pada minit ke-46.

Kedudukan kekal hingga tamat perlawanan walaupun kedua-dua pasukan mendapat dua lagi peluang terbaik melalui pukulan sudut penalti.

Dengan keputusan itu, Malaysia yang tewas 1-2 kepada Australia semalam terpaksa bekerja lebih keras ketika menentang Great Britain pada Rabu.

Great Britain menjadi pasukan pilihan selepas menewaskan Pakistan 5-0 semalam dan India 2-0 hari ini.

Gol padang diperoleh melalui Benjamin Boon pada minit ke-28 dan Samuel French pada minit ke-49.

Sementara itu, Pakistan yang cuba bangkit pada perlawanan hari ini, sekadar mampu menyekat Australia dengan keputusan 1-1.

Gol diperoleh Pakistan selepas pemainnya, Muhammad Naveed dengan bijak melepasi tiga pemain pertahanan Australia dalam kawasan D sebelum meledakkan bola ke gawang lawan pada minit ke-52.

Kegembiraan Pakistan bagaimanapun hanya bertahan lapan minit apabila Andrew Scanlon menjaringkan gol penyamaan dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

-- BERNAMA

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop

    No comments: