Setelah namanya dikaitkan dengan pasukan Harimau Malaya, bekas bintang Perancis yang pernah menjulang Piala Dunia 1998, Marcel Desailly akhirnya membuka mulut dengan mengakui, dia berminat menjadi ketua jurulatih Malaysia.
Desailly yang ditemui pada majlis pengumuman calon Anugerah Dunia Sukan Laureus 2014 di ibu negara semalam turut mengakui, ada menghantar permohonan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Walaupun tiada sebarang pengalaman mengendalikan mana-mana pasukan, Desailly tidak menjadikan itu sebagai tembok penghalang untuk dia menawar diri membimbing skuad kebangsaan yang kini berada di ranking ke-150 dunia.
"Ya, memang benar saya dikaitkan untuk menjadi jurulatih (Harimau Malaya) kerana saya fikir selepas 20 tahun karier sebagai pemain, sudah sampai masanya saya terlibat sebagai jurulatih dan bersedia jika diberi peluang.
"Berdasarkan pengetahuan yang ada, saya harap saya mampu membantu bola sepak Malaysia mempunyai mentaliti mahu menang dan gembira jika dipilih sebagai jurulatih.
"Bukan sekadar menjadi jurulatih, saya bersedia memperbaiki struktur bola sepak di peringkat bawah umur 21 dan 19, saya mahu datang ke sini bukan sekadar memenuhi jawatan semata-mata tetapi mahu membantu bola sepak Malaysia, " kata bekas tonggak pertahanan yang pernah beraksi buat Chelsea dan AC Milan.
Desailly juga menambah, pengalaman beraksi bersama dua kelab Qatar, Al-Gharafa dan Qatar SC menjadi faktor dia mengetahui serba sedikit bola sepak Asia dan seterusnya memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi memulakan karier sebagai jurulatih.
"Bola sepak adalah sukan universal walaupun tidak dinafikan setiap benua ada kelebihan serta kekurangan masing-masing seperti mana Asia atau Afrika.
"Saya boleh menyesuaikan diri tidak kira di benua mana sekali pun pasukan itu terletak kerana hanya sedikit sahaja pengubahsuaian teknik kejurulatihan perlu dilakukan dalam melatih mana-mana pasukan, " katanya lagi.
Bekas ketua jurulatih Jepun, Philippe Troussier dan bekas pengurus AS Roma, Zdenak Zeman sudah pun terkeluar daripada senarai yang akan membimbing Harimau Malaya.
Itu menjadikan Desailly dan bekas jurulatih pasukan India, Bob Houghton menjadi calon utama.
FAM selepas Mesyuarat Eksekutif, Sabtu lalu menjelaskan yang mereka masih memertimbangkan hasrat mengambil jurulatih luar negara dengan tidak menafikan ada beberapa nama terbaharu berada dalam radar.
sumber: utusan