Wednesday, February 26, 2014

Selangor, Arema berkongsi mata


Selangor terpaksa berkongsi satu mata dengan Arema Indonesia selepas terikat 1-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan F Piala Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) yang berlangsung di Stadium Selayang.

Gol Selangor dijaringkan oleh Paulo Rangel seawal minit ke-10 hasil rembatan mudah selepas menerima hantaran Andik Vermansyah yang berjaya melepasi kubu lawan.

Manakala gol Arema dihasilkan oleh ketua pasukan, Ahmad Bustomi di minit ke-73 menerusi sepakan percuma.

Aksi perlawanan nampak seimbang dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan. Di minit ke 42, ketika dalam keadaan kelam kabut, Andik Vermansyah gagal menyempurnakan jaringan selepas rembatan lemahnya mudah diselamatkan.

Pada babak kedua, Shukur Jusoh jelas terlepas peluang terbaik untuk menambah jaringan Selangor ketika berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Arema, Kurnia Meiga Hermansyah di minit ke-52. Percubaannya selepas menerima hantaran Andik, tersasar ke sebelah kiri.

Di minit ke-57, giliran Arema terlepas paluang apabila rembatan deras Cristian Gonzales ditangkap kemas penjaga gol Selangor, Saiful Amar.

Nasib tidak menyebelahi Shukur di minit ke-58 selepas dia sekali lagi gagal menyempurnakan gol ketika menerima hantaran baik daripada rakan, dengan sentuhannya hanya tersasar.

Usaha Arema untuk mencari gol penyamaan akhirnya terhasil setelah sepakan percuma yang diambil ketua pasukan, Ahmad Bustomi jatuh ke sedut tepi gol Selangor.

Di minit 75, Gonzales muncul melakukan rembatan ketika dia tidak dikawal, namun sepakannya tidak mengena dan membuatkan bola tersasar.

Di penghujung perlawanan, pengadil terpaksa memberhentikan seketika permainan akibat bunyi letupan yang dipercayai bahan mercun yang di lontarkan oleh penyokong.

"Sangat mengecewakan kerana kita berkongsi mata, namun saya gembira dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh pemain. Pada pendapat saya, kita menguasai permainan sepenuhnya.

"Kita dapat peluang yang banyak pada separuh masa kedua. Kalaulah serangan kita lebih tajam, kita boleh meraih kemenangan 3 atau 4-0.

"Saya akui ada kesilapan dilakukan pemain kita yang membenarkan pasukan lawan menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma, tetapi saya tidak mahu menyalahkan sesiapa pada ketika itu. Saya hanya percaya kita boleh memenangi dengan mudah pada aksi malam ini.

"Saya harap kita akan bangkit pada perlawanan akan datang," kata jurulatih Selangor Mehmet Durakovic.

sumber: Astro Arena
Recent Comments Widget