Piala Sudirman - Misi mustahil kalahkan Korea
Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan mengakui, peluang Malaysia untuk mengalahkan Korea Selatan dalam aksi pembukaan kejohanan badminton berpasukan campuran, Piala Sudirman di China, Ahad ini sangat sukar.
Katanya, berdasarkan prestasi semasa, Korea memiliki kelebihan dalam semua acara.
Begitupun, Hendrawan enggan memadam sebarang peluang buat skuad kebangsaan untuk melakar kejutan, apatah lagi bakal diperkuatkan oleh bekas pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.
“Kalau diikutkan, di atas kertas memang kita sudah kalah kepada Korea Selatan.
“Mereka mempunyai kekuatan seimbang dalam semua acara, tetapi itu tidak bermakna kita tidak ada peluang langsung untuk menang.
“Kita akan cuba sebaik mungkin kerana dalam acara berpasukan seperti ini macam-macam perkara boleh berlaku.
“Kejohanan ini merupakan cabaran pertama saya dan saya berharap semuanya akan berjalan dengan baik,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.
Chong Wei diberi kepercayaan untuk mengetuai pasukan negara dalam saingan yang akan berlangsung di Dongguan dari 10-16 Mei ini.
Turut menggalas cabaran perseorangan lelaki adalah Cheam June Wei.
Skuad negara turut dibarisi Tee Jing Yi dan Lim Yin Fun (perseorangan wanita), Goh V Shem-TanWee Kiong dan Mak Hee Chun (beregu lelaki).
Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Amelia Alicia Anscelly membawa cabaran beregu wanita, manakala Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Wong Fai Yin-Chow Mei Kuan dalam beregu campuran.
Katanya, Malaysia perlu menang ke atas India dalam perlawanan kedua jika mahu mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya layak ke suku akhir.
Begitupun, jurulatih kelahiran Malang, Indonesia itu berpendapat, peluang untuk menang ke atas negara tersebut juga adalah 50-50.
Berbanding Korea Selatan, dia memberitahu, India lebih mudah kerana daripada segi statistik, mereka hanya memiliki kekuatan dalam acara perseorangan dan beregu wanita sahaja.
“Selepas perlawanan menentang Korea Selatan, kita akan mendapat gambaran lebih jelas mengenai strategi yang diperlukan untuk menewaskan India dan bagi peringkat awal ini, tumpuan lebih terarah kepada perlawanan pertama,” katanya.
Sementara itu, Hendrawan turut mengingatkan Chong Wei agar tidak terlalu ghairah untuk beraksi memandangkan kejohanan itu merupakan yang pertama buatnya selepas kembali daripada penggantungan lapan bulan akibat kesalahan doping.
Katanya, pemain berusia 33 tahun itu mungkin akan berdepan pemain No.5 dunia, Son Wan Ho dalam perlawanan pertamanya.
Menurut Hendrawan, keadaan dalam gelanggang pasti sangat berbeza kerana tumpuan seluruh dunia terarah kepada naib juara dunia dua kali itu.
“Sudah pasti Chong Wei berasa sangat ghairah untuk beraksi kerana ia merupakan perlawanan pertamanya.
“Peminat dari seluruh dunia mahu melihat dia kembali bermain selepas menamatkan penggantungan.
“Suasana akan menjadi sangat berbeza dan dia pasti akan menjadi sangat teruja untuk beraksi, perkara itu tidak salah tetapi saya ingatkan supaya tidak terlalu ghairah kerana bimbang akan menjejaskan permainannya,” katanya.
http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/berpijak-di-bumi-nyata-1.88760
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit