Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) layak ke suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas mengalahkan kelab Myanmar, Ayeyawady United 5-0 di dalam saingan pusingan kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, di sini, Rabu malam.
Beraksi di hadapan 16,850 penyokong, JDT menurunkan kedua pemain import iaitu Jorge Rolando Pereyra Diaz dan Luciano Gabriel Figueroa untuk menguatkan jentera serangan bersama pemain lain.
Strategi nyata berkesan apabila seawal minit kedua, kapten pasukan Harimau Selatan itu, Safiq Rahim berjaya meledakkan gol pertama menerusi rembatan kencang selepas menyambut hantaran Figueroa.
Ayeyawady cuba merapatkan jurang pada minit ke-14 namun hantaran silang pemain tengahnya, Sim Woon Sub gagal dimanfaatkan Naumov Riste dan bola tersasar ke tepi tiang gol.
Pada minit ke-20 pula, pemain tengah JDT, Mohd Nazrin Mohd Nawi cuba untuk menambahkan jaringan namun rembatannya juga sekadar tersasar tiang gol.
Pada babak kedua, JDT tidak memerlukan masa yang lama untuk menjaringkan gol kedua, hasil rembatan kencang Figueroa yang gagal ditepis penjaga gol Ayeyawady, Vanlai Hruai pada minit ke-42.
Keputusan membuatkan kelab Myanmar itu lebih tertekan, sebelum mereka dikejutkan lagi dengan dua jaringan daripada Diaz pada minit ke-60 dan 73.
Di saat perlawanan memasuki masa tambahan pada minit ke-90, Figueroa sempat menghadiahkan gol kelima buat JDT dan keputusan kekal sehingga wisel penamat.
-- BERNAMA
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit