Persatuan Badminton Malaysia BAM cuba menidakkan kemampuan 2 pemain, Chong Wei Feng dan Zulfadli Zulkifli untuk bertanding di Kejohanan Dunia di Jakarta Indonesia tidak lama lagi.
Persatuan Badminton Malaysia BAM kini berdepan 'dilema' ibarat ditelan mati emak diluah mati bapak selain cuba menidakkan kemampuan 2 pemain, Chong Wei Feng dan Zulfadli Zulkifli untuk bertanding di Kejohanan Dunia di Jakarta Indonesia tidak lama lagi.Atas dasar merit kedua - dua pemain itu layak mewakili negara berdasarkan pada ranking ke 31 (Wei Feng) dan 41 (Zulfadli) dunia. Namun BAM masih berura - ura dan bertegas mahu menyenaraikan Datuk Lee Chong Wei untuk beraksi dengan menggantikan salah seorang daripada pemain yang disebutkan.
Umum mengetahui Chong Wei baru terlepas daripada hukuman selepas gagal ujian doping yang menyaksikan rankingnya jatuh, digantung 8 bulan sekaligus tersingkir daripada kelompok pemain - pemain terbaik untuk layak secara otomatik.
Keputusan BAM, kiranya menggugurkan Wei Feng atau Zulfadli bekas juara remaja dunia itu bakal mengundang padah satu hari nanti!!
Seharusnya BAM menghormati kedudukan kedua - dua pemain ini biarpun harapan untuk mereka menjadi juara adalah tipis. Terbaik mungkin yang mampu dilakukan oleh salah seorang pemain itu adalah layak ke suku akhir, bergantung kepada undian pula.
Hairan, mengapa BAM dan Morten Frost terlalu berkeras mahu membuka laluan kepada Lee Chong Wei sedangkan bekas pemain nombor satu dunia itu pada saya tidak berada kedudukan 'mental' terbaik untuk bertanding.
Pengurusan BAM dan Frost sendiri perlu membuka minda, berfikiran jauh dan berfikir dari luar kotak.
Tidak dinafikan Datuk Lee Chong Wei adalah pemain terhebat negara namun saya berpendapat BAM perlu sedikit tegas dengan 'membekukan' Chong Wei seketika daripada penyertaan ke kejohanan dunia selepas isu dopingnya itu. Jadikan keputusan ini sebagai satu pengajaran atau hukuman dalaman selain menunjukkan ketegasan BAM.
Lee Chong Wei sudah bergelar naib juara dunia sebanyak 2 kali. Apakah BAM dan Frost rasa kehadirannya kali ini akan membawa kejayaan? Kiranya masih mahu bergantung harap kepada Chong Wei, bilakah pula pemain - pemain lain mahu merasai suasana dan pengalaman bermain pada kejohanan dunia. Sampai bila kita akan bergantung kepada Lee Chong Wei??
Bukalah peluang kepada Wei Feng, Zulfadli atau mana - mana pemain lain untuk sama - sama beraksi di Kejohanan Dunia.
Saya juga berpendapat Lee Chong Wei perlu secara 'gentlemen' menolak tiket 'wild card' PBSI kerana yang lebih penting ketika ini adalah merencanakan satu lembaran baru dalam kariernya.
Pemburuan tempat ke Sukan Olimpik Rio tahun depan serta kembali menguasai kedudukan pemain nombor satu dunia perlu dijadikan matlamat utama.
Sebelum mengundur diri kali ini, harus saya ingatkan padah yang mungkin diterima adalah kehilangan seorang lagi tonggak yang bakal meninggalkan BAM kiranya badan induk itu bertegas mahu menggantikannya.
BAM dan Morten Frost sudah bermain api apabila mengetepikan Lai Pei Jing dan Tan Aik Quan dari skuad ke Piala Sudirman.
Selamat Mencuba...Ma'as Salamah...
- Zainal Abidin Rawop