Afiq Azmi boleh selesai masalah Dollah Salleh
Mungkinkah pemain tinggi lampai Selangor, Mohd. Afiq Azmi menjadi jawapan terbaik kepada dilema yang dihadapi Dollah Salleh sejak sekian lama iaitu ketiadaan penyerang tempatan yang mampu menggalas tugas mengetuai jentera serangan Harimau Malaya?
Tujuh gol yang telah disumbat oleh pemain itu, hatrik dalam pertemuan dengan Lions XII di Stadium Shah Alam kelmarin memberi bayangan bahawa penyerang berusia 26 tahun itu berpotensi untuk diuji dalam perlawanan antarabangsa.
Keinginan sama turut diluahkan oleh Afiq yang secara jujur mengakui sekiranya namanya ada dalam perancangan Dollah untuk menghadapi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 ini, dia bersedia sepenuhnya menyahut cabaran.
“Fokus saya kini hanya untuk Selangor, tetapi jika benar Dollah bersedia untuk memanggil saya, saya tidak tahu...itu haknya.
“Tetapi kalau dipanggil oleh skuad kebangsaan, saya memang bersedia sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Selangor menumpaskan Lions XII 4-0 kelmarin.
Dalam masa sama, Afiq menganggap tiga jaringannya dalam perlawanan itu sebagai isyarat bahawa penyerang tempatan mampu bersaing dengan penyerang import.
“Salah satu harapan saya selepas perlawanan ini, saya harap mampu membuktikan penyerang tempatan juga boleh menjaringkan gol.
“Jangan harap pada penyerang import sahaja, kita selaku penyerang tempatan juga mampu melakukan seperti mereka,” katanya.
Nama Afiq pernah menjadi fenomena di Kelantan dalam saingan Piala Malaysia 2012 apabila dia, yang dipinjamkan oleh Kuala Lumpur pada masa itu, menjadi watak penting membantu skuad The Red Warriors muncul juara.
Berasal dari Kangar, Perlis, dia memulakan karier bersama kelab KSK Tambun Tulang FC dalam Liga FAM pada 2009 sebelum menyertai Kuala Lumpur selama tiga musim dan seterusnya ke Selangor.
Sementara kelibat Safee Sali kini tenggelam timbul di Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Indra Putra Mahayuddin yang belum berada di tahap terbaik bersama Felda United, Afiq wajar diberi peluang dengan aksi berdepan Tottenham Hotspur sebagai medan percubaan.
Prestasi Afiq turut mendapat pujian jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic, yang berasakan pemain itu bijak mengambil kesempatan diberikan dan layak berada dalam kesebelasan utama.
“Saya berasa cukup gembira dengan apa yang dia lakukan sekarang dan jaringan yang dicipta hari ini (kelmarin) cukup menarik.
“Dia bermain dengan begitu baik dan untuk pemain tempatan, dia antara yang terbaik dan saya rasa dia layak untuk bersama pasukan kebangsaan.
“Namun, terpulang kepada perancangan jurulatih kerana bukan sesuatu yang mudah memandangkan ramai pemain turut bersaing mendapatkan tempat,” katanya.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit