Tuesday, March 3, 2015

Pahang vs JDT : 1 - 1 ( pen 4 - 2 )


Johor Darul Takzim (JDT) tewas ditangan Pahang menerusi sepakan penalti 4-2 selepas terikat 1-1 di Stadium Darul Makmur.

Seawal babak pertama perlawanan, skuad tuan rumah dilihat lebih garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah kubu lawan, bagaimanapun ia berjaya diserap dengan baik oleh JDT. 

Namun pada minit ke-20, Pahang akhirnya berjaya merobek gawang JDT menerusi Matias Conti yang menanduk kencang untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias selepas pemain dari Argentina itu menerima hantaran cantik Dickson Nwakaeme . 

Pada minit ke-38 serangan yang diatur pasukan Harimau Selatan itu hampir memperolehi gol penyamaan bagaimanapun tandukan penyudah oleh Mohamad Fadli Mohd Shas gagal menepati sasaran.

Separuh masa kedua, serangan bertali arus skuad Tok Gajah hampir menambah jaringan pada minit ke-49 namun rembatan deras Mohd Fauzi Rozlan dari dalam kotak penalti berjaya diselamatkan oleh penjaga gol pelawat, Mohd Farizal Marlias.

Semangat juang pemain JDT ternyata tidak mudah luntur yang berjaya bangkit dengan gol penyamaan pada minit ke-80 menerusi rembatan Hariss Harun hasil dari hantaran sepakan sudut Mohd Nazrin Mohd Nawi. 

Tersentak dengan jaringan, Pahang berusaha bangkit menerusi Nwakaeme, namun sepakan dari dalam kotak penalti yang dilakukan oleh pemain itu hanya meleret melepasi tiang gol lima minit sebelum wisel penamat masa penuh perlawanan ditiup oleh pengadil perlawanan.

Kerancakan perlawanan kemudian terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti selepas 30 minit masa tambahan tetap gagal membuahkan hasil.

Pahang kemudian berjaya melengkapkan kemenangan selepas berjaya menyempurnakan empat sepakan penalti oleh Matias Ruben Conti, Damion Delano Stewart, Zeshan Rehman dan Mohd Razman Roslan.

JDT hanya mampu meledakkan dua sepakan penalti yang diambil oleh Mohd Safee Mohd Sali dan Hariss Harun.



Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget