Ragam penyerang hoki negara, Faizal Saari yang masih belum turun menjalani latihan biarpun sudah memohon maaf atas tindakannya sebelum ini membuatkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sakit kepala.
Isu berhubung Faizal terus panas apabila kelmarin penyerang tersebut memberitahu Utusan Malaysia, dia belum dapat mengesahkan sama ada akan menyertai latihan skuad kebangsaan.
Malah difahamkan Faizal juga belum menjalani ujian kecergasan biarpun telah memaklumkan kepada pihak pengurusan akan hadir pada Jumaat lalu.
Setiausaha Agung MHC, Datuk Johari Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah hilang idea untuk memujuk pemain tersebut agar kembali menjalani latihan.
Beliau juga mengakui bingung dengan sikap Faizal kerana sebelum ini menjangkakan isu melibatkan pemain itu sudah selesai.
“Saya tak tahu nak cakap apa tentang dia (Faizal) cuma jika ada apa-apa perkembangan baharu saya akan maklumkan nanti.
“Buat masa ini saya juga belum berkesempatan untuk berjumpa dengannya dan saya tidak boleh komen selagi tidak mendengar penjelasannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sabtu lalu, Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad memberitahu, bonus penyerang tersebut akan dipotong kerana kegagalannya hadir menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.
Kata Nur Azmi, pemotongan bonus itu bukan kali pertama dilaksanakan dan pemain terdahulu juga pernah dikenakan tindakan yang sama andai gagal hadir sesi latihan skuad kebangsaan.
Dikhuatiri tahap kecergasan Faizal mampu terjejas andai masih enggan menjalani latihan, malah bermula hari ini, jurulatih kebangsaan, Tai Beng Hai dan rakan sepasukannya sudah tidak dapat menunggunya untuk berlatih bersama berikutan perlu bertolak ke Australia bagi mengikuti kem latihan di sana selama 11 hari.
Ketiadaan jurulatih dan skuad kebangsaan di sini pastinya akan menimbulkan kesulitan buat Faizal jika mahu menjalani latihan.
Faizal tidak disenaraikan dalam 20 pemain ke Australia kerana tahap kecergasan yang diragui berikutan tidak hadir latihan hampir sebulan selepas membantu skuad kebangsaan menjuarai Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua di Singapura pada Januari lalu.
-UTUSAN
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit