Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan mengatur satu pertemuan khas dengan penyerang kontroversi, Faizal Saari dalam masa terdekat bagi mendapatkan kata putus daripadanya sama ada mahu bermain dengan skuad kebangsaan atau tidak.
Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pertemuan tersebut terpaksa diatur bagi memastikan tumpuan pasukan tidak terganggu dengan ragam pemain itu yang sudah lama membiarkan jurulatih dan rakan sepasukan menanti kehadirannya sejak awal bulan lalu.
Kata Nur Azmi, pada pertemuan tersebut nanti MHC akan meminta Faizal menyatakan pendiriannya secara bertulis, selain bakal menghormati apa jua keputusannya.
“Buat masa ini banyak perkara yang hendak kami difikirkan dan kerana itu saya perlu mendengar apa keputusannya kerana tidak mahu pasukan dan rakan sepasukan ternanti-nanti kehadirannya.
“Saya telah meminta Setiausaha Agung MHC, Datuk Johari Abdul Aziz untuk mengatur pertemuan itu dalam masa terdekat dan saya sendiri akan hadir untuk bersemuka dengan pemain tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kemelut Faizal telah bermula selepas skuad kebangsaan menjuarai kempen Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua di Singapura yang berakhir 25 Januari lalu.
Malah, ragam pemain tersebut dikhabarkan berpunca atas faktor belum memperoleh bayaran bonus yang dijanjikan.
Bagaimanapun pada 25 Februari lalu, Faizal dilapor akan kembali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan selepas mengadakan pertemuan dengan MHC, namun tidak juga muncul.
Malah pada 27 Februari lalu, Faizal dikhabarkan akan turun menjalani ujian kecergasan yang telah ditetapkan oleh jurulatih skuad kebangsaan Tai Beng Hai, tetapi terus mengulangi perangai lamanya biarpun sebelum itu sudah menyatakan permohonan maaf secara terbuka atas tindakannya.
Sementara itu, kata Nur Azmi, sekiranya Faizal menyatakan pendirian untuk bersama skuad kebangsaan maka langkah pertama yang perlu dilakukan pemain tersebut adalah hadir menjalani ujian kecergasan seperti yang telah ditetapkan sebelum boleh menyertai kem latihan.
Ketika ini skuad kebangsaan sedang berada di Australia bagi menjalani kem latihan bagi persediaan menghadapi kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium pada Jun ini.
Faizal terlepas menyertai rakan sepasukan yang lain kerana tahap kecergasan penyerang tersebut diragui berikutan sudah lebih dua minggu tidak menjalani latihan.
-UTUSAN
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit