Monday, January 5, 2015

Nicol pertahan takhta No. 1 dunia



Tidak sampai dua minggu selepas dinobatkan sebagai juara dunia buat kali kelapan, ratu skuasy negara Datuk Nicol David kini meraikan kejayaannya mempertahan kedudukan sebagai pemain No. 1 dunia selama 102 bulan dalam Ranking Skuasy Dunia yang dikeluarkan pada Januari 2015. 

Kali pertama pemain kelahiran Pulau Pinang itu menghuni kedudukan tersebut dalam senarai Persatuan Skuasy Wanita (WSA) ialah pada Januari 2006 ketika usianya 22 tahun.

Selepas jatuh ke No. 2 dunia pada April, pemain yang kini berusia 31 tahun itu merampas kembali kedudukan tersebut pada Ogos 2006 dan sejak itu, dia mempertahankan takhta yang dipegangnya hingga kini.

Bulan lalu, pada Kejuaraan Skuasy Wanita Dunia di Mesir, Nicol buat kesekian kalinya dinobatkan sebagai juara dunia dan me­lebarkan rekod kemenangan kepada lapan gelaran.

Lawannya yang merupakan pemain harapan tuan rumah, Raneem El Welily, 26, yang sebelum ini meng­huni ranking No. 3 dunia, buat kali pertama berjaya merampas kembali kedudukan No. 2 dunia untuk ranking Januari sejak Mac 2013.

“Minggu yang cukup gila sepanjang Kejuaraan Dunia berlangsung. Salah satu kenangan yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Pada pertandingan itu, kali pertama saya mendapat sokongan yang begitu padu,” kata El We­lily kepada laman web www.squashsite.com.

Pemain England, Laura Massaro jatuh ke anak tangga No. 3 daripada kedudukan No. 2 dalam senarai baharu tersebut, sementara Nour El Sherbini dari Mesir menghuni tempat keempat dan pemain kelahiran London, Alison Waters di tempat kelima.

Wakil Perancis, Camille Serme mengekalkan kedudukan keenam, manakala seorang lagi wakil Malaysia, Low Wee Wern turut tidak bergerak dari angka No. 7 dunia.

Tiga lagi pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia iaitu ranking No. 8, No. 9 serta No. 10, masing-masing menjadi milik Nour El Tayeb (Mesir), Omneya Abdel Kawy (Mesir) dan Annie Au (Hong Kong).

Seorang lagi pemain negara, Delia Arnold yang turut membantu Malaysia muncul naib juara dalam Kejuaraan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia pada Disember tahun lalu, berada di kedudukan No. 28 dunia, berbanding tangga ke-30 pada November 2014.



Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget