PENAUNG Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa Persatuan Bola Sepak Perlis (Perlis FA) supaya segera menyelesaikan isu pembayaran gaji yang tertunggak.
Memetik kenyataan Tunku Ismail di laman Facebook, Johor Southern Tigers, tindakan Perlis FA menahan gaji pemain sehingga tertunggak selama enam bulan, menyebabkan ramai di antara mereka terpaksa berhenti bermain bola sepak atau melakukan pelbagai pekerjaan lain untuk menyara kehidupan.
Tunku Ismail yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) melihat situasi ini sebagai satu masalah yang besar dan mendatangkan kerugian.
“PFAM sudah mengemukakan kes ini kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dua bulan yang lalu, namun setakat ini masih tiada kesungguhan yang dapat dilihat daripada pihak FAM atau Perlis FA untuk menyelesaikan perkara tersebut.
“Adalah satu kerugian bagi PFAM dan pemain jika isu ini tidak diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Menurut Tunku Ismail, isu tunggakan gaji seharusnya tidak berlaku kerana ia merupakan tanggungjawab persatuan terhadap pemain.
“Para pemain telah menunjukkan kesungguhan mereka di atas padang, maka adalah menjadi tanggungjawab setiap persatuan pula untuk memainkan peranan yang sewajarnya dan memastikan kebajikan pemain sentiasa terpelihara,” katanya.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop