Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah merakamkan penghargaan kepada jurulatih Dollah Salleh dan barisan pemain negara yang bermain dengan semangat kental sehingga layak ke final Piala AFF Suzuki 2014.
Titah baginda kejayaan pasukan Harimau Malaya membenamkan Vietnam 4-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium My Dinh pada Khamis malam merupakan satu kejutan.
"Syukur Alhamdulillah pasukan negara telah membuat kejutan dengan memenangi perlawanan pada malam ini, pastinya saya gembira kerana pasukan Malaysia menepati sasaran FAM.
"Terima kasih kepada Dollah Salleh dan pemain-pemain pasti akan berusaha untuk menunaikan sasaran peminat yang mahu melihat pasukan kita menjulang piala kali ini," titah baginda dalam kiriman kenyataan ringkas kepada media di sini Khamis malam.
Malaysia layak ke final setelah menewaskan Vietnam dengan agregat 5-4 dan akan menentang Thailand dalam perlawanan akhir timbal balik pada 17 dan 20 Dis ini.
- BERNAMA
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop