Wednesday, December 31, 2014

PFAM sedia kemukakan masalah kepada Fifa, FIFPro


PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) tidak menolak kemungkinan membawa isu tunggakan lima bulan gaji pemain Perlis ke mahkamah atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Kesatuan Pemain Sedunia (FIFPro) jika tiada usaha menyelesaikan isu itu.


Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail mahu Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) segera menyelesaikan kemelut pembayaran gaji pemain Singa Utara yang tertunggak sejak Jun lalu.

Jelasnya, seramai 12 pemain Perlis membuat aduan tidak bersetuju tindakan PFA yang mahu membayar tunggakan gaji bagi bulan Jun 2014 sahaja dan tidak akan membayar gaji pemain dari bulan Julai sehingga November.


“PFAM merasakan perkara ini tidak adil dan PFA mengingkari kontrak pemain yang dipersetujui bersama. Seramai 12 pemain membuat tuntutan tersebut tidak bersetuju dengan terma yang dibuat PFA dalam satu perjumpaan dihadiri Timbalan Presiden PFA pada 11 September lalu.

"Kita masih optimis perkara ini masih mampu diselesaikan PFA dan FAM secara berhemah, bukan lagi alasan penangguhan bayaran gaji kepada pemain, semua ini tidak seharusnya berlaku.

"Tetapi kita akan bawa ke mahkamah dan pengetahuan Fifa serta FIFPro yang pastinya akan memberi imej buruk sukan bola sepak Malaysia," jelasnya yang tidak memberikan tarikh khusus kepada PFA menyelesaikannya pada sidang media di Puchong, semalam.

Turut hadir Presiden PFAM, Hairuddin Omar dan ketua pasukan Perlis, Mohd Khairi Zainuddin serta beberapa pemain.






Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget