Thursday, December 4, 2014

Kurang tajaan punca ragbi mundur


PRESTASI skuad ragbi negara semakin menunjukkan perkembangan positif sejak kebelakangan ini setelah berjaya melayakkan diri untuk beraksi pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland yang lalu.

Bagaimanapun keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang meletakkan skuad ragbi di bawah kategori B pada temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan seolah-olah menidakkan kekuatan yang dimiliki skuad ragbi negara.

Ironinya, sasaran berada dalam kelompok lima terbaik dan sekurang-kurangnya layak ke suku akhir nampaknya masih belum melayakkan mereka untuk digeruni di peringkat antarabangsa setanding dengan pasukan ragbi dari negara Korea Selatan, Jepun, Hong Kong mahupun Sri Lanka.

Bagaimanapun menurut Pengurus Besar Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Mohd. Mazuri Sallehuddin, harapan skuad ragbi negara untuk mendapatkan kalungan pingat di Sukan Asia bukan perkara yang mustahil.

“Mengikut sejarah, pasukan negara pernah mengatasi pasukan Sri Lanka dan Korea Selatan pada kejohanan peringkat Asia tahun lalu.

“Cuma ketika ini kami fokus untuk mendapatkan pingat emas pada Sukan SEA di Singapura tahun depan kerana untuk menjadikan ragbi sebagai sukan teras negara, kami perlu mendapatkan pingat dalam kejohanan di pentas antarabangsa,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai perbezaan kualiti pemain ragbi negara berbanding dengan negara Asia lain, Mohd. Mazuri berkata, skuad negara kurang pemain profesional.

“Jika hendak dibandingkan, pemain ragbi seperti dari negara Sri Lanka dan Korea Selatan ketika ini telah mula melakukan transformasi pasukan mereka ke arah profesional.

“Mereka banyak melahirkan pemain profesional yang kebanyakannya telah menyertai kelab-kelab terkemuka dunia yang secara tidak langsung berjaya menambah kualiti dan kemahiran mereka ketika beraksi.

“Justeru, pengalaman dan taktikal yang diperoleh ini akan dibawa masuk dan diterapkan dalam pasukan negara mereka,” ujarnya.

Beliau turut berkata, Malaysia sebenarnya memiliki pemain-pemain berkualiti dan jika dinilai daripada segi fizikal dan juga kepantasan yang dimiliki, semuanya adalah setanding dengan negara lain.

“Apa yang membezakan ialah sukan ragbi negara kurang diberi pendedahan dan publisiti seperti mana yang dilakukan terhadap sukan bola sepak.

“Kesan daripada itu, kami kurang menerima tajaan daripada badan-badan korporat atau syarikat-syarikat tertentu untuk menganjurkan program membangunkan sukan ragbi daripada semua peringkat.

Mohd. Mazuri berkata, sekiranya pasukan ragbi diberi lebih perhatian, mungkin dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi, pasukan ragbi negara bakal berada ditahap tertinggi dan digeruni diperingkat antarabangsa.

“Walaupun sukan ragbi kita kurang diberi perhatian, negara sebenarnya telah memiliki pemain profesional seperti Dineswaran Krishnan atau Dugro yang ketika ini sedang beraksi di Liga Premier Jepun.

“Kita mampu mencapai matlamat tersebut asalkan ada program pembangunan sukan ragbi yang dilakukan secara berterusan dengan bantuan daripada pihak penaja dan media.

“Sebelum ini pun, Jepun juga mengambil tempoh dan pendekatan yang sama untuk membangunkan pasukan ragbi mereka. Hasilnya, ketika ini mereka merupakan salah satu pasukan terhebat di Asia.

“Inilah impian kita iaitu untuk melihat pasukan ragbi negara melangkah gagah di pentas antarabangsa,” katanya.


~kosmo~


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget