Wednesday, December 10, 2014

Dali Omar mendesak Dollah Salleh guna Piya dan Baddrol


Bekas penyerang kebangsaan era 70-an, Dali Omar mendesak Dollah Salleh membuat rombakan ke atas skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala AFF menentang Vietnam di Hanoi malam esok.

Dali berkata, rombakan itu perlu dilakukan selepas beberapa pemain yang diturunkan gagal memperagakan aksi terbaik sehingga Harimau Malaya tumpas 1-2 kepada Vietnam pada pertemuan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam Ahad lalu.

Menurutnya, kelemahan paling ketara yang dilihatnya dalam pasukan kebangsaan ialah barisan tengah yang dianggapnya gagal berfungsi dengan baik sedangkan Harimau Malaya mempunyai pemain berkualiti di posisi tersebut.

“Kita ada Piya (Mohd. Badhri Radzi) pemain tengah terbaik, begitu juga dengan Baddrol Bakhtiar. Tetapi sayang, mereka hanya memanaskan bangku simpanan sahaja sedangkan kedua-dua pemain ini mempunyai kualiti dan satu kerugian besar buat negara (kerana mereka tidak diturunkan).

“Saya yakin dan percaya, kedua-dua pemain ini mampu memberikan impak yang cukup besar jika diberikan peluang untuk beraksi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai persembahan skuad negara pada separuh akhir pertama itu.

Katanya, barisan tengah Harimau Malaya dilihat tidak bekerja sebagai sebuah unit menyebabkan tiada sebarang gerakan menarik yang mampu diterjemahkan oleh jentera serangan.

Malah lagenda bola sepak Kelantan itu turut menegur susun atur pemain yang dilakukan oleh Dollah sepanjang saingan tersebut.

Katanya, tindakan itu menyebabkan pemain yang diberikan kepercayaan untuk beraksi gagal bermain dengan baik disebabkan oleh susunan yang tidak kena.

“Ubahlah sebelum terlambat demi kebaikan pasukan Harimau Malaya dan maruah negara,” ujar­nya.

Mengulas mengenai peluang Harimau Malaya, Dali berkata, skuad bimbingan Dollah dijangka berdepan laluan sukar pada pertemuan itu nanti.

Katanya, Vietnam pasti akan memanfaatkan peluang beraksi dige­langgang sendiri, selain mendahului dengan gol di tempat lawan.

“Saya harap pemain tidak mudah patah semangat...fokus pada perlawanan itu nanti dengan mempamerkan aksi terbaik bagi memulihkan semula maruah pasukan negara.

“Kembalinya Amri Yahyah akan memberikan nafas baharu di bahagian serangan Harimau Malaya pada pertemuan itu nanti,” katanya.

-UTUSAN


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget