Monday, November 24, 2014

KAFA Umum Barisan Kejurulatihan



PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengumumkan penstrukturan baharu barisan kejurulatihan The Red Warriors bagi memastikan pasukan itu kembali mencabar kejuaraan pada saingan Liga Malaysia musim depan, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, khidmat pengendali kelahiran Ghana, George Boateng dikekalkan bagi tempoh semusim lagi meskipun dia gagal membantu Kelantan meraih sebarang kejuaraan musim lalu.

“Boateng akan dibantu dua jurulatih yang mempunyai kelayakan Lesen A iaitu Mohd Hashim Mustapha, Mohd Nafuzi Mahamad Zain selain bekas jurulatih skuad Piala Presiden, Sideek Samsuddin yang mempunyai Lesen B.

“Selain itu, kita juga mengekalkan Ismail Chawalit Abu Bakar sebagai jurulatih penjaga gol dan membawa masuk muka baharu, Luka Basic dari Croatia selaku jurulatih kecergasan menggantikan Miro Petric,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Mengenai pemburuan pemain import, katanya, perkara itu telah pun dimuktamadkan setelah mendapat maklum balas daripada pasukan scouting, baru-baru ini.

“Pemain import akan tiba di ibu negara pada 25 November ini dan saya akan berjumpa dengan mereka tiga hari kemudian. Kita juga mengesahkan senarai 23 pemain untuk musim depan dan majlis memperkenal pemain kepada media dan penyokong akan berlangsung pada 1 Disember ini,” katanya.

Sementara itu, mesyuarat exco itu juga bersetuju melantik mantan Naib Presiden, Datuk Ismail Md Noor sebagai Setiausaha Agung baharu menggantikan Azman Ibrahim yang kini dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa selain kekal menjawat jawatan pengurus pasukan.

“Pada masa sama, kita juga membuat lantikan baharu bagi pembentukan sebanyak 22 Jawatankuasa yang akan memikul tugas membantu Kafa untuk tempoh empat tahun akan datang,” katanya.

www.sinarharian.com.my


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget