Wednesday, November 26, 2014

Jaga-jaga Thailand! Kami ada karakter 2010


Selepas diketepikan daripada pertemuan menentang ­Myanmar, sentuhan pe­nyerang, Safee Sali mungkin ditagih pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh dalam usaha membentuk ramuan terbaik untuk menjinakkan Thailand pada aksi kedua Piala AFF di Stadium Jalan Besar, hari ini.

Turun dengan misi mencari tiga mata bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir, anak-anak buah Dollah berjanji untuk memberi tentangan terbaik bagi menutup mulut pengkritik yang sudah banyak menjatuhkan hukuman sebelum Piala AFF bermula lagi.

Walaupun sekadar mengutip satu mata semasa bertemu Myanmar, Ahad lalu, Dollah berjanji akan memberi berhabis-habisan menentang skuad Gajah Putih tanpa mempedulikan reputasi yang dibawa juara tiga kali itu.

“Kami telah mengkaji kekuatan dan kelemahan Thailland semasa bertemu Singapura. Saya percaya sesuatu akan berlaku dalam perlawanan dengan mereka.

“Tidak dinafikan Thailand semakin baik dan saya akui mereka pasukan pilihan, namun itu tidak bermakna kami mahu mengalah.

“Mereka pantas kerana membariskan ramai pemain muda, dan itulah yang membawa mereka ke separuh akhir Sukan Asia di Incheon. Mereka juga akan dibantu beberapa pemain berpengalaman, jelas kami perlu berada di kemuncak prestasi jika mahu mengalahkan mereka,” kata Dollah.

Mengharapkan badi kad merah yang diterima dalam tiga perlawanan tidak berulang, Dollah me­negaskan, tiada dalam perancangannya mengarahkan pemain bermain secara fizikal ke atas lawan.

“Tidak pernah saya mengarahkan pemain bermain kasar, bukan senang untuk beraksi dengan 10 pemain dan saya harap kami dapat tamatkan permainan esok dengan 11 pemain,” katanya.

Dalam sesi latihan di Stadium Jalan Besar semalam, Dollah mencuba pelbagai strategi dengan meletakkan Safee di barisan serangan bersama Norshahrul Idlan Talaha, manakala Mohd. Amri Yahyah bertindak selaku sayap kanan.

Ada kemungkinan Indra Putra Mahayuddin diletak di sayap kiri, manakala gandingan pertahanan, Afif Amiruddin dan Mohd. Fadhli Shas kekal selepas beraksi cemerlang ketika berdepan Myanmar.

Sementara itu kapten Harimau Malaya, Shukor Adan berjanji tidak akan keciciran mata lagi bagi mendapatkan bekalan selesa sebelum melakukan perhitungan akhir de­ngan tuan rumah, Singapura pada Sabtu ini.

“Kami tidak boleh keciciran mata lagi. Walaupun Thailand tampil sebagai satu unit yang bagus, kami bakal gandakan persembahan.

“Moral kami masih tinggi, malah semakin bersemangat.

“Tunggu saja esok petang (hari ini) dan kami akan cuba memberi kejutan kepada mereka,” katanya.

Pada kejohanan empat tahun lalu, Malaysia memulakan kempen dengan dibelasah 5-1 oleh Indonesia, tetapi menunjukkan kebangkitan hebat, terma­suk mengejutkan Vietnam 2-0 di separuh akhir. 

Mereka kemudian membenam Indonesia 3-0 dalam perlawanan akhir pertama di Kuala Lumpur, tewas 1-2 di Jakarta tetapi menjulang Piala AFF menerusi agregat 4-2. 

“Pada Piala AFF 2010, semua orang cakap tidak boleh pergi jauh apabila kami kalah 1-5 kepada Indonesia pada perlawanan pembukaan, namun kita berjaya bangkit dan muncul juara. 

“Sikap begitu yang kita mahukan dan saya nampak ia ada pada pemain pada edisi kali ini mempunyai karakter yang sama seperti mana empat tahun lalu,” kata Safiq yang merupakan ketua pasukan Malaysia pada 2010. 

Sebaik saja Malaysia seri tanpa jaringan berdepan Myanmar, suara peminat Harimau Malaya tampak semakin lantang mengkritik kemampuan skuad Dollah Salleh. Pemain pencen, kuda tua dan bintang berkarat, itu antara gelaran yang diberikan kepada pemain negara. 

Hanya segelintir saja yang masih menaruh harapan Harimau Malaya mampu menjinakkan Thailand. Segala kata-kata sumbang itu langsung tidak dipedulikan Safiq, yang secara jujur melihat skuad kali ini ada karakter untuk melakukan kebangkitan dengan mendapatkan tiga mata ketika bertemu Thailand. 

“Tidak mustahil kami mampu me­ngulangi pencapaian 2010 ke­rana rata-rata tampak begitu positif walaupun kami seri dalam perla­wa­nan pertama, sikap ini mampu membawa kami mara ke peringkat seterusnya,” katanya. 

Pemain tengah berusia 28 tahun itu juga berharap rakan-rakannya tidak terlalu memandang tinggi Thailand yang muncul sebagai pendahulu Kumpulan B selepas menewaskan tuan rumah, Singapura, 2-1. 

Safiq dijangka dipertaruhkan di bahagian tengah bersama Shukor Adan selepas Gary Steven Robbat digantung satu perlawanan kerana mengutip dua kad kuning pada perlawanan menentang Myan­mar 


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget