Wednesday, November 26, 2014

Faizal sedia sarung jersi kebangsaan


BEKAS penyerang terbaik pasukan hoki negara, Faizal Saari bersedia menyarung kembali jersi kebangsaan dalam memperkuat skuad kendalian Tai Beng Hai bagi menghadapi Kejohanan Liga Hoki Dunia pusingan kedua di Singapura pada 17 hingga 25 Januari tahun depan.

Sebelum ini, Faizal menimbulkan kontroversi apabila enggan mewakili pasukan negara dengan alasan tidak berpuas hati dengan agihan imbuhan yang diberikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Julai lalu.

Begitu pun, kini pemain kelahiran Kuala Terengganu itu mengakui dia tidak mampu menolak tawaran bekas jurulatihnya, Tai Beng Hai yang kembali membimbing skuad hoki senior kebangsaan dan bakal bersama pasukan selepas tamat Liga Hoki Malaysia 2014 hujung bulan ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah memikirkan beberapa perkara termasuk kehadiran Beng Hai yang pernah menaikkan namanya dalam persada sukan hoki negara.

“Saya akan menjalani latihan bersama pasukan negara seminggu selepas LHM 2014 berakhir dan buat masa ini, saya mahu fokus kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk menjuarai saingan musim ini.

“Bagi saya pertemuan bertemu pendahulu liga, KLHC Jumaat ini cukup penting buat kami dan perlu merebut tiga mata untuk muncul juara LHM edisi kali ini,” katanya ketika ditemui selepas membantu pasukannya membelasah Maybank 6-1 di sini, kelmarin.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung kontroversi Julai lalu, penyerang berusia 23 tahun itu enggan mengulas lanjut sebaliknya bertekad untuk memberikan aksi terbaik buat pasukan kebangsaan di Singapura nanti.

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget