Friday, October 3, 2014

Malaysia akur kena pulang pingat emas

INCHEON - Tiada khabar gembira diterima Tai Cheau Xuen pada sambutan hari jadinya yang ke-23 semalam apabila Jawatankuasa Ad Hoc Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) menolak rayuan terhadap kes doping atlet wusyu negara itu.
Malah, sebaik saja keputusan diumumkan, emas yang dimenangi Cheau Xuen dalam acara nandao dan nanquan all-around wanita dikeluarkan serta-merta daripada kedudukan pingat rasmi Sukan Asia XVII.
Itu bermakna, pungutan rasmi emas Malaysia di Incheon adalah empat emas, 14 perak dan 11 gangsa, sekali gus meletakkan Malaysia di tangga ke-14 dan semakin jauh daripada sasaran lapan emas.
Emas nandao dan nanquan all-around wanita diberi kepada atlet tuan rumah Sukan Asia 2018, Indonesia iaitu Juwita Niza Wasni, manakala peserta pilihan Wei Hong dari China dihadiahkan perak dan seorang lagi atlet Indonesia, Ivana Ardelia Irmanto membawa pulang gangsa.
Walaupun sedih dengan berita yang diterima, namun ketua kontinjen negara, Datuk Danyal Balagopal Abdullah menegaskan, beliau masih menunggu alasan di sebalik penolakan CAS terhadap rayuan Malaysia.
"Saya diberitahu bahawa rayuan Malaysia telah ditolak, tetapi mereka (CAS) tidak menyatakan alasan mengapa ditolak.

"Kami mahu dengar alasan mereka terlebih dulu. Sekiranya munasabah maka kami akan terima, jika tidak... maka kami akan bincang dan putuskan apa langkah seterusnya yang boleh diambil," kata Balagopal.
Seandainya mengambil keputusan untuk mengemukakan rayuan sekali lagi, Malaysia perlu membayar 50,000 euro (RM207,00) untuk membawa kes tersebut kepada ibu pejabat CAS di Lausanne, Switzerland.
Cheau Xuen, yang muncul juara dunia di Kuala Lumpur pada 2013, diuji positif mengambil bahan perangsang sibutramine selepas memenangi pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada 20 September lalu.
Dia menjadi atlet kelima gagal ujian dadah dalam temasya Incheon selepas pemain bola sepak Tajikistan, Khurshed Beknazarov (methylhexaneamine); pemain soft tenis Kemboja, Yi Sophany (sibutramine); atlet angkat berat Iraq, Mohammed al Aifuri (steroid) dan peserta Karate Syria, Nour-Aldin al-Kurdi yang positif clenbuterol.
Kontinjen Malaysia sebelum ini menegaskan, mereka yakin atlet kelahiran Seremban itu tidak bersalah dan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Ad Hoc kerana menganggap ada keraguan dalam proses doping yang dilakukan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA). - UTUSAN



Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget