Wednesday, May 28, 2014

Timbalan Presiden FAM dah tunjuk taring..

Tak sampai seminggu kot jawatan Timbalan Presiden FAM kau pegang. Sekarang dah nak tunjuk kuasa ker? Haih... Aku baru mengharapkan satu perubahan yang gitu dalam FAM. Sekarang nie dah ada bunyi-bunyi sumbang.

Kalau jawatan timbalan kau pegang, jawatan kat negeri pun kau pegang, sakan lah kau nie erk... Suka aku ambil petikan dari Utusan nie.

"Amalan pegawai kanan FAM terus memimpin persatuan ne­geri sudah sekian lama berjalan dan tidak timbul masalah lagipun tidak me­nyalahi mana-mana peraturan FAM sendiri."

Sudah lama berjalan? Maknanya memang menjadi amalan oleh orang sebelum-sebelum ini? Woooi... Ari tue cakap nak buat perubahan.. Ini perubahan mende.

Untuk perhatian, orang disekeliling dok perhati sahaja gelagat dan karenah pimpinan baru FAM. Mereka menilai, aku pun menilai, jiran aku menilai, orang-orang yang cintakan bola sepak pun menilai. Kalau karenah sebegini berterusan, tak mustahil orang akan bosan. Bila dah bosan, nanti macam-macam hal pula akan berlaku...

Aku malas nak ulas panjang-panjang sebab hati semakin panas.. Korang baca sendiri la artikel dari Utusan ini.

Afandi pertahan pegang negeri, FAM

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah (gambar) mempertahankan amalan untuk terus menyandang jawatan persatuan bola sepak negeri sekalipun sudah dipilih ke pucuk pimpinan badan induk kebangsaan itu.
Beliau tidak nampak sebarang kemungkinan berlakunya pertindihan kepentingan sekiranya Timbalan Presiden atau Naib Presiden FAM yang baharu dipilih Ahad lalu, terlibat atau dilantik pula mempengerusikan jawatankuasa tertentu.
"Amalan pegawai kanan FAM terus memimpin persatuan ne­geri sudah sekian lama berjalan dan tidak timbul masalah lagipun tidak me­nyalahi mana-mana peraturan FAM sendiri.
"Saya percaya masing-masing akan tahu membezakan yang mana peranan di peringkat kebangsaan dan negeri. Jadi tidak perlulah lepaskan jawatan negeri itu," katanya, yang juga Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, kepada Utusan Malaysia semalam.
Afandi mengulas cabaran bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Wira Mazlan Ahmad kelmarin supaya mana-mana penyandang jawatan kanan FAM baharu berbuat begitu demi mengelakkan pertindihan kepentingan negeri dan keikhlasan memperjuangkan perubahan suasana bola sepak Malaysia selepas 30 tahun dipimpin Sultan Ahmad Shah.
Seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor manakala tiga daripada empat Naib Presiden FAM - Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Datuk Rozabil Abdul Rahman dan Datuk Sudarsono Osman turut memimpin persatuan Perak, Perlis dan Sarawak.
Secara tradisinya selepas pemilihan, FAM akan melantik timbalan dan naib presiden baharunya dalam satu mesyuarat sebagai pengerusi jawatankuasa tetap terutama yang menjadi tumpuan ramai seperti Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Pertandingan Tempatan, Tatatertib, Peraturan dan Status bagi penggal 2014-18.
Afandi meraih undi tertinggi, 27, dalam persaingan sengit tiga penjuru kerusi nombor dua FAM.
"Kalaupun ada kemungkinan pertindihan kepentingan negeri penyandang jawatan itu jika jawatankuasa tertentu bersidang, saya percaya situasi itu bukanlah berlaku terlalu kerap.
"Dalam pengalaman saya sebagai Naib Presiden FAM dan beberapa jawatankuasa lalu, kami ada garis panduan tertentu untuk tidak membenarkan pengerusi atau ahli yang mungkin menganggotai persatuan ahli gabungan terlibat dalam perbincangan mahupun membuat keputusan berkaitan negeri atau pasukan asal mereka," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, sebuah persatuan yang kaya sumber dan berpengalaman seperti FAM sepatutnya menggalakkan kemasukan lebih ramai tokoh bebas atau yang tiada kepentingan lagi dalam persatuan ahli gabungan atau negeri asal atau mereka.
"Jika perubahan yang dijanjikan dan cuba dibawa oleh FAM, maka bukan orang atau penyandang jawatannya sahaja yang kena bertukar tetapi juga gaya pimpinan, pengurusan dan struktur persatuan itu.
"FAM kena kaji dengan mendalam berhubung penyandang jawatan negeri dalam FAM walaupun memang bukan mudah untuk melaksanakan perubahannya.
"Bagi saya perlu ada juga orang bebas dan berkecuali yang dilantik ke jawatan kanan kerana mereka mungkin lebih bertanggungjawab daripada mereka yang dicalonkan ahli gabungan dan memenangi pemilihan," katanya.

-luis Garcia-

 
Recent Comments Widget