Itu dia. Sokongan yang jelas dan tanpa selindung. Tahniah penyokong TRW. Kami di Stylo Sport juga berpendapat seperti anda.
Penyokong Kelantan mahukan TMJ
KOTA BHARU - Misi, visi serta janji Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail
Sultan Ibrahim untuk membawa perubahan ketara dalam bola sepak negara
sekiranya dipilih menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
mendapat sokongan padu peminat di negeri ini
Bagi mereka sudah tiba masanya, kepimpinan tertinggi FAM itu berubah
selepas 25 tahun tanpa sebarang kejayaan membanggakan dan lebih malang
bola sepak negara terus berada pada tahap sama ketika negara lain sudah
mampu melangkah jauh dalam sukan tersebut.
Presiden Kelab Penyokong The Red Warrior Kota Bharu, Mohamad Zainy
Mohamad Zain berkata, penyokong sudah lama inginkan perubahan di dalam
FAM dan mahu melihat badan bola sepak itu dipimpin oleh individu lain
yang mampu membawa kejayaan kepada bola sepak negara.
Katanya, calon paling sesuai untuk memimpin badan bola sepak itu
adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang dilihat mempunyai misi dan visi
jelas ke arah perubahan tersebut.
Ujarnya, selepas melihat janji-janji TMJ dalam rancangan terbitan
Astro Arena, Dengan Izin kelmarin, penyokong sangat yakin ianya dapat
dikotakan.
"Setiap kata-kata dan janji TMJ sangat meyakinkan bagi mengembalikan
kegemilangan bola sepak negara selepas sekian lama melalui episod hitam
tanpa sebarang kejayaan.
"Sebagai penyokong, kami sangat inginkan perubahan. Jika masih tidak
ada perubahan, bola sepak negara dan FAM sendiri tidak akan ke
mana-mana.
"Sampai bila penyokong akan terus menanam sifat kebencian pada FAM
apabila melihat bola sepak negara terus ketinggalan dan pemimpin sedia
ada terus berkuasa," katanya kepada Utusan Malaysia.
TMJ ketika ditemubual secara langsung dalam rancangan Dengan Izin
telah berjanji akan mewujudkan pengadil profesional dan memberikan dana
yang lebih tinggi kepada setiap persatuan bola sepak negeri sekiranya
diberi kepercayaan sebagai Presiden FAM.
Janji TMJ itu jelas telah memberi reaksi positif pelbagai pihak dan
penyokong bola sepak negara yang rata-ratanya menyatakan sokongan kepada
Tengku Mahkota Johor itu.
Malah pengikut-pengikut di laman sosial dilihat turut menyatakan
sokongan yang sama mahu melihat perubahan dalam kepimpinan tertinggi
bola sepak negara itu.
Tambah Zainy, janji TMJ untuk memberikan dana yang lebih tinggi
kepada setiap persatuan negeri sangat disokong memandangkan selama ini
hanya menerima RM300,000.
"Jumlah itu (RM300,000) tidak mencukupi untuk membangunkan bola sepak
di negeri-negeri dan peruntukan tinggi yang dijanjikan TMJ sekiranya
dipilih selepas ini akan dapat membantu perkembangan bola sepak
khususnya di peringkat negeri," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Siber
Kelantan Darul Naim (kelate.net), Mahizi Mahmood pula berkata, penyokong
tidak pernah melupakan jasa dan pengorbanan Presiden FAM, Sultan Ahmad
Shah selama memimpin badan bola sepak itu.
Namun katanya, di saat sukan itu terus mengalami kemerosotan,
pemimpin baharu yang mampu mengubah masa depan bola sepak negara
sememangnya sangat diperlukan.
"Melihat kepada janji-janji TMJ serta misi dan visinya, saya yakin
beliau (TMJ) akan mampu mengotakannya, sekali gus membawa perubahan
kepada bola sepak negara.
"Perkara itu terbukti apabila kita melihat bagaimana TMJ telah
melakukan transformasi kepada pasukan bola sepak Johor sehingga menjadi
fenomena masa kini," katanya.