KUALA LUMPUR - Sekali pun masih mendapat sokongan kuat daripada
badan-badan gabungan, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),
Sultan Ahmad Shah masih berteka teki dan belum menetapkan pendirian sama
ada mahu mempertahankan jawatan pada pemilihan 25 Mei ini.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, baginda masih
memikirkan sama ada akan memegang jawatan Presiden yang disandang
semenjak tahun 1984 atau memberi kepada muka-muka baharu.
"Buat masa ini, Sultan Ahmad Shah masih tidak memberikan apa-apa
kenyataan atau pendirian mengenai pemilihan yang akan datang, baginda
mungkin akan mengumumkan apabila tiba masa bersesuaian.
"Setakat ini, belum ada kepastian dan tunggulah baginda membuat
pengumuman rasmi apabila tiba masanya, saya tidak boleh cakap lebih
daripada itu, " katanya ketika dihubungi, semalam.
Kongres FAM kali ini menarik perhatian banyak pihak selepas beberapa nama berpengaruh dikaitkan dengan jawatan Presiden.
Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Ibrahim
menyatakan kesediaan untuk bertanding jika mendapat pencalonan.
Begitu juga bagi jawatan Timbalan Presiden apabila dua Naib Presiden
FAM pada masa kini, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Seri Afandi
Hamzah menjadi dua nama yang dikaitkan akan bertanding.
Bagi persidangan Jawatankuasa Tatatertib yang akan berlangsung hari
ini, Hamidin mengesahkan sebutan mengenai insiden terowong di Stadium
Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin akan disebut pada hari ini.
Turut dibincangkan adalah kes membabitkan dua pemain import Johor
Darul Tazim (JDT), Luciano Figueroa dan Pablo Aimar yang menghamburkan
kata-kata perkauman ke atas pemain Pahang, Damion Stewart.
Dalam masa sama, tindakan balingan mercun yang dilakukan oleh
penyokong Sarawak semasa pertemuan pasukan itu dengan ATM di Stadium
Selayang pada 18 Januari lalu antara agenda yang turut dibincangkan.
"Pihak Jawatankuasa Tatatertib akan berbincang mengenai kes yang
berlaku di Larkin pada 1 Februari lalu, dua pemain JDT dan balingan
mercun oleh penyokong Sarawak semasa di Stadium Selayang, 18 Januari
lepas.
"Sama ada keputusan dapat dicapai pada hari esok (hari ini), semuanya bergantung kepada Jawatankuasa Tatatertib.
"Jika mereka berasakan perlu mendapatkan lebih banyak maklumat, kes ini akan ditangguhkan pada hari lain, " katanya lagi.