Bekas jurulatih kebangsaan dan Perak, Karl-Heinz Weigang kini hangat dikaitkan akan kembali bersama skuad negeri ini sebagai penasihat teknikal.
Difahamkan, sentuhan Weigang, yang pernah mengendalikan Perak pada musim 1997 hingga 2000 diperlukan untuk merencanakan aspek taktikal skuad Bos Gaurus yang kini dilihat agak kurang berkesan di bawah kendalian Abu Bakar Fadzim.
Namun, kehadiran Weigang tidak akan menggugat tugas Abu Bakar sebagai ketua jurulatih, sebaliknya mereka akan berganding bahu dalam usaha memantapkan permainan Perak yang kini menghuni tangga tercorot Liga Super.
Kehadiran Weigang merupakan satu daripada usaha penambaikan struktur sistem kejurulatihan seperti yang diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sebelum ini.
Perkara ini (pelantikan Weigang sebagai penasihat taktikal) akan diumumkan oleh Pafa pada 3 Mei," kata sumber yang rapat dengan Pafa semalam.
Tambah sumber berkenaan, kehadiran Weigang merupakan usaha berterusan Pafa untuk membantu Perak keluar dari zon penyingkiran setelah perbincangan untuk mendapatkan khidmat bekas pengendali kelab Maldives, New Radiant SC, Velizar Popov, 38, menemui jalan buntu.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Azhar Ahmad yang enggan mengulas perkara itu berkata, Pafa telah melakukan segala yang terdaya untuk memulihkan prestasi pasukan.
Menurutnya, ini termasuk menandatangani seorang pemain import baharu, Marco Tulio yang menjaringkan gol kedua ketika Perak menang 2-0 ke atas Terengganu dalam perlawanan di Kuala Terengganu minggu lalu.
Tulio berjaya memberikan impak dalam penampilan pertamanya bersama pasukan ketika menentang Terengganu tempoh hari. Setelah 'tersilap pilih' beberapa pemain import sebelum ini, kali ini kami berharap mendapat pilihan yang tepat," katanya.
Selain Tulio, Perak membariskan tiga lagi import iaitu Milan Purovic dan Abdulafess Abdulsalam yang mengisi posisi depan manakala Hassan Daher di bahagian pertahanan.
Dalam masa yang sama, Azhar memberitahu, Pafa terpaksa menamatkan kontrak kapten skuad bawah 23 Myanmar, Kyaw Zayar Win kerana masalah kecederaan.
Mengenai bekas pemain Perak, Razali Umar Kandasamy, Azhar mengesahkan Pafa telah mendaftarkan pemain itu dan akan memantau keadaannya sebelum membuat keputusan untuk pemain itu kembali ke dalam pasukan.