Selepas pemain Sarawak, Joseph Kalang Tie mendakwa pengadil perlawanan mengeluarkan kata kesat terhadapnya sebelum ini, kini giliran penyerang import T-Team, Patrich Steve Wanggai pula mendakwa menjadi mangsa.
Wanggai mendakwa pengadil perlawanan Mohammad Zamzaidi Katimin bersikap ‘biadap’ dengan menghemburkan perkataan ‘F**k Y**’ kepadanya ketika T-Team berdepan Perak pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.
Penyerang kelahiran Indonesia itu berkata, dia cukup marah dengan sikap pengadil terbabit yang mengeluarkan perkataan sedemikian dan menyifatkan Mohammad Zamzaidi tidak ada hak mengutuknya dengan kata-kata kesat.
“Apa hak dia (pengadil) dan apa salah saya hingga menghamburkan kata-kata kesat kepada saya pada perlawanan itu.
Sekiranya dia (pengadil) marah kerana saya banyak mempertikaikan keputusan yang dibuatnya dalam perlawanan itu, dia tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata kurang sopan itu,” katanya selepas perlawanan.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 dan Wanggai yang berang dilihat cuba menyerang pengadil berkenaan, namun disekat pemain dan pegawai pasukan.
Penyerang berusia 25 tahun itu masuk menggantikan Evaldo Rodrigues pada minit ke-31 tidak berpuas hati dengan cara pengadil yang banyak memihak kepada pasukan lawan walaupun jelas kekasaran dilakukan ke atas pemain T-Team.
“Ini bukan kali pertama pengadil Liga M menggunakan kata kesat kepada saya dan kali pertama berlaku awal tahun ketika saya bermain dalam perlawanan persahabatan, namun saya tidak mahu memperbesarkan isu ini.
“Saya tak sangka akan dimaki lagi dan kali ini saya tidak mampu menahan sabar lagi.
Bagi saya, pengadil perlawanan sepatutnya berlaku adil kepada kedua-dua pasukan.
“Saya tidak mungkin berdiam diri lagi kerana ini soal maruah dan saya sudah melaporkan kepada pengurusan T-Team untuk membawa kes ini kepada FAM,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi T-Team Syahrizan Mohd Zain mengesahkan pihaknya ada menerima aduan lisan daripada Wanggai.
“Buat masa ini kita belum membuat sebarang keputusan dan tindakan selanjutnya akan dibuat selepas perbincangan dengan pihak pengurusan,” katanya.
sumber: myMetro
Wahai encik pengadil kenapa boleh jadi macam nie. Di mana profesionalisme anda sebagai pengadil sekiranya perkara ini betul-betul berlaku. Buat malu orang Malaysia ja... Haih..memalukan...
-luis Garcia-