Atas belas ehsan daripada page Retro Bola Sepak (RBS), hari ini admin nak share sesuatu tentang legend Maldini
Lihat foto ini, jika anda kenal semua individu grande dalam foto ini, barangkali anda bolehlah kiranya dianggap khatam dalam pengajian sejarah bola sepak Italia.
Berada dalam foto adalah Giovanni Trappatoni, Cesare Maldini, Arrigo Sacchi, Paolo Maldini, Dino Zoff dan anak kecil itu adalah Christian Maldini.
Foto ini sekitar tahun 2000, ketika Paolo Maldini memecahkan rekod 112 penampilan terbanyak Dino Zoff untuk skuad Itali.
Waktu ini, Giovanni Trappatoni baharu sahaja dilantik menggantikan Dino Zoff yang membantu Itali meraih naib juara UEFA Euro 2000.
OK, semua individu di atas mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Paolo seperti yang kita tahu adalah anak Cesare Maldini.
Cesare Maldini pula adalah bekas kapten A.C. Milan yang menjuara Piala Eropah 1963. Rakan sepasukan Maldini waktu itu adalah Giovanni Trappatoni. Mereka berdua berganding di posisi pertahanan.
Kemudiannya, Cesare Maldini pula adalah pembantu kepada pengurus Itali di Piala Dunia 1982, iaitu Enzo Bearzot. Edisi yang dimenangi oleh Itali di mana Dino Zoff adalah ketua pasukan Itali.
Sacchi? Inilah antara individu yang membentuk Paolo Maldini menjadi pertahanan paling ampuh di dunia. Di AC Milan lah, Sacchi membina skuad 'Grande Milan'. Maldini membentuk gandingan pertahanan yang cukup digeruni penyerang lawan, bersama-sama Franco Baresi,Alessandro Costacurta dan Mauro Tassotti. Rekod kejuaraan Milan pada waktu itu menjadi bukti betapa gahnya skuad kendalian Sacchi.
Sacchi kemudiannya menjadi jurulatih Itali. Di Piala Dunia 1994, Paolo Maldini adalah 'stand-in captain' kepada Franco Baresi.
EURO 1996, Itali tidak bernasib baik apabila tersingkir di peringkat kumpulan. Dalam masa yang sama, Cesare Maldini membawa skuad Itali bawah 21 tahun menjuarai Kejohanan Eropah Bawah 21 tahun 1996. Produk ternakan Cesare Maldini dalam skuad muda itu termasuk lah Fabio Cannavaro (pemain terbaik kejohanan), Francesco Totti,Gianluigi Buffon, Alessandro Nesta, Cristian Panucci, Alessio Tacchinardi,Damiano tomassi, Marco Delvecchio dan Luigi Sartor. Kelompok pemain-pemain ini lah antara muka-muka baharu yang dipanggil ke dalam skuad Itali sewaktu Cesare Maldini dilantik menggantikan Sacchi pada 1996.
Cesare Maldini & his boys. Budak-budak muda ini diadunkan dengan pemain sedia ada. Malah bekas pemain yang menjuarai Piala Dunia 1982, Giuseppe Bergomi, turut dipanggil ke dalam skuad sungguhpun sudah lama tidak bermain dalam skuad kebangsaan.
Tamat Piala Dunia 1998, Dino Zoff pula dilantik menjadi jurulatih Itali. Paolo Maldini tetap menjadi kapten. EURO 2000, Itali tampil dengan gaya kesukaan Zoff, 'catenaccio' yang cukup grande di zaman Zoff bergelar pemain. Hasil taktikalnya itu lah Itali berjaya mara ke final, namun hampa dikecewakan dengan gol emas David Trezeguet. Siapa boleh lupa perlawanan klasik Itali-Belanda di separuh akhir. Bermain 10 orang di awal permainan, bertahan dengan penuh elegan, dua penalti Belanda diselamatkan, dan tiba-tiba peminat bola sepak dunia mula bercakap tentang pemain pertahanan seperti Nesta, Cannavaro dan sudah pasti lah Maldini.
Taktikal Zoff dikritik dan dikecam hebat oleh Presiden AC Milan kerana menganggap Itali terlalu mengamalkan corak bertahan. Jodoh tidak lama. Zoff digantikan dengan pengurus yang telah mencipta pelbagai kejuaraan bersama pelbagai kelab, Giovanni Trappatoni.
Piala Dunia 2002, paling pahit untuk dikenang. Sekali lagi tersingkir angkara gol emas. Kejohanan terakhir Paolo Maldini. Trappatoni kekal bersama Itali, membawa Itali layak ke EURO 2004. Beliau melantik Fabio Cannavaro sebagai kapten Itali yang baharu, pemain yang kemudiannya memecahkan rekod penampilan Paolo Maldini di peringkat antarabangsa. Dan hanya baru-baru ini sahaja rekod Cannavaro itu dipecahkan oleh bekas rakan sepasukan, penjaga gol terbaik dunia sepanjang zaman, Gigi Buffon.
Kesinambungan sejarah yang panjang ini masih terus menerus menjadi ikon bola sepak Itali.
Hari ini, usia Cesare Maldini mencecah ke 82 tahun. Anaknya sudah menjadi lagenda, hanya menunggu giliran cucu-cucunya pula mencipta nama.
Grazie Maldini!... Grande Calcio!...Forza Italia!...
-credit to Retro Bola Sepak (RBS) facebook-
-admin Bergkamp-