FUZHOU, China – Ramai pemain handalan cuba menewaskan Lin Dan tetapi menemui kegagalan.
Namun semalam, pemain yang jarang diberi perhatian, K. Srikanth melakar kejutan besar apabila menumbangkan juara dunia lima kali itu di depan peminatnya sendiri untuk merangkul kejuaraan perseorangan lelaki badminton Siri Super Premier Terbuka China.
Pemain muda India itu dianggap seperti ‘langit dan bumi’ ketika turun ke gelanggang kerana sekadar membawa reputasi sebagai pemain No. 16 dunia, sedangkan lawannya adalah bekas pemain No. 1 dunia yang turut memiliki dua pingat emas Sukan Olimpik.
Namun Srikanth, 21, langsung tidak menunjukkan rasa gentar biarpun ketinggalan 17-19 di set pertama, apabila hanya mengambil masa 46 minit untuk menumbangkan juara Terbuka China lima kali, Lin Dan 21-19, 21-17.
India meraih kegembiraan berganda pada kejohanan bernilai AS$700,000 (RM2.35 juta) itu selepas bintang perseorangan wanita mereka, Saina Nehwal turut pulang bersama kejuaraan.
Saina, pemenang pingat gangsa Olimpik merangkul gelaran Terbuka China pertamanya selepas menundukkan bintang remaja Jepun berusia 18 tahun, Akane Yamaguchi 21-12, 22-20.
Akane sebelum ini mencuri tumpuan selepas mengejutkan pilihan utama, Wang Shixian dari China pada pusingan kedua, sebelum menyingkirkan pilihan kelima dari Korea Selatan, Bae Yeon-Ju di separuh akhir.
Begitupun pengalaman nyata berpihak kepada pemain No. 5 dunia, Saina yang mencatat kemenangan dalam masa 42 minit.
Dalam saingan beregu lelaki, pasangan No. 1 dunia, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong mengecewakan gandingan tuan rumah, Chai Biao-Hong Wei apabila muncul juara menerusi kemenangan 21-14, 21-15.
China bagaimanapun mengungguli beregu campuran menerusi Zhang Nan-Zhao Yunlei dan beregu wanita, Wang Xiaoli-Yu Yang. – AGENSI
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop