Friday, October 3, 2014

Kopiko Purple League, Liga Profesional Badminton Pertama di Malaysia


PETALING JAYA, 2 Okt (Bernama) -- Kopiko Purple League, liga profesional badminton pertama di Malaysia, dilihat mampu menaik taraf sukan badminton negara.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata liga itu mampu memberi pendedahan kepada pemain kebangsaan serta pemain pelapis dan muda.

"Mereka, tidak kira pemain elit atau pelapis atau pemain muda, akan diberi pengalaman yang cukup bernilai dengan penyertaan bertanding dalam liga yang berkualiti tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran liga tersebut hari ini.

Kopiko Purple League dijadual berlangsung di Sports Arena, Petaling Jaya dari 25 Nov hingga 1 Feb tahun depan.

Liga yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM2 juta itu bakal disertai 12 kelab tempatan serta pemain import dan beberapa pemain elit negara seperti Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Tan Boon Heong dan Goh V Shem.

Kejohanan turut menampilkan pemain luar seperti Nguyen Thien Minh dari Vietnam, Vita Marissa dan Markis Kido dari Indonesia serta Robert Blair dari England.

Kesemua pemain akan bertanding atas tiket kelab masing-masing, antaranya, Kelab Badminton Petaling Jaya, Kelab Badminton Nusajaya dan Kelab Badminton Bandar Muar.


Setiap kelab akan menghantar wakil dalam empat kategori iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki dan beregu campuran.

Sementara itu, Khairy berkata sukan sepak takraw juga perlu mewujudkan liga profesionalnya sendiri.

"Saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan saya harap ada badan korporat serta syarikat swasta tampil bekerjasama dalam membangunkan sukan negara.

"Saya percaya sepak takraw juga ada tarikan dan minat yang tinggi dalam kalangan peminat tempatan dan antarabangsa. Kita boleh melibatkan pemain dari negara seperti Thailand dan Korea," katanya.

Sukan sepak takraw negara akhir-akhir ini mengalami kemerosotan dan berprestasi hambar di peringkat antarabangsa dan buat kali pertama gagal mara ke pentas akhir acara berpasukan pada temasya Sukan Asia di Incheon.

Mereka kalah kepada Thailand di separuh akhir untuk sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.

-- BERNAMA

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget