Wednesday, March 19, 2014

Kelantan 2-3 Vissai Ninh Binh


Kelantan gagal memanfaatkan peluang beraksi di padang sendiri apabila kalah 2-3 kepada kelab Vietnam, XM Vissai Ninh Binh (VNB) pada perlawanan ketiga Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, Selasa malam.


Kelantan terpaksa bermain dengan sembilan orang apabila dua penyerangnnya iaitu Ahmad Shakir Md Ali dan Mohd Khairul Izuan Rosli dilayangkan kad merah pada minit ke-33 dan 46.

Pada separuh masa pertama Kelantan mula dengan aksi hambar apabila pasukan pelawat lebih banyak melakukan serangan menerusi dua penyerang importnya, Bryan Kavin Elroy dan Tambwe Patiyo.

Ketiadaan Francis Forkey Doe, Ahmad Fakfri Saarani dan Mohamad Ghaddar di bahagian serangan, nyata memberi kesan kepada skuad 'The Red Warriors' itu apabila rata-rata pemain yang diturunkan Steve Darby adalah pemain muda.

Pada minit ke-21, pasukan dari Vietnam itu terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Elroy selepas bijak menyudahkan hantaran Le Van Thang.

Kelantan kemudian terpaksa bermain dengan 10 orang apabila penyerangnya Ahmad Shakir Md Ali dilayangkan kad merah oleh pengadil Bangladesh, Tayeb Hasan selepas pemain itu mengasari pemain lawan Le Van Duyet pada minit ke-33.

Tersentak dengan layangan kad merah itu, Kelantan kemudian memperkemaskan jentera serangan dan pada minit ke-38, Muhamad Nazri Ahmad berjaya menyamakan kedudukan apabila sepakan percuma dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol pelawat Nguyen Van Hung.

Pada minit-minit akhir separuh masa pertama, Kelantan berjaya mendahului menerusi Mohd Khairul Izuan Rosli di minit ke-45 apabila bijak menyudahkan hantaran Wan Zaharul Nizam Zakaria.

Pada aksi separuh masa kedua, Kelantan terpaksa beraksi dengan sembilan pemain apabila Mohd Khairul Izuan Rosli dilayangkan kad merah selepas mengasari Sim Won Sub seawal minit ke-46.

Pasukan pelawat memanfaatkan kelebihan itu apabila berjaya mengikat kedudukan 2-2 apabila Patiyo berjaya menanduk hantaran silang Le Van Duyet pada minit ke-50.

Darby kemudian membuat pertukaran pada minit ke-59 dengan memasukkan Mohd Badhri Mohd Radzi dan Mohamed Shawky Aly menggantikan Wan Zaharul Nizam Zakaria dan Faizul Nazlin Sayuti bagi mengimbangi bahagian tengah selepas pasukan terpaksa beraksi dengan sembilan pemain.

Namun pasukan pelawat memperoleh gol kemenangan pada minit ke-62 menerusi Voinea Petrisor selepas berjaya menyudahkan hantaran Bryan Kavin Elroy.

Kemenangan tersebut membolehkan VNB mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan G dengan sembilan mata dalam tiga perlawanan.

Pada aksi timbal balik Kelantan akan menentang XM Vissai Ninh Binh di Stadium Ninh Binh, Vietnam, 2 April ini.


Recent Comments Widget