Ayuh Malaysian Tigers!
TIADA apa yang diharapkan peminat setia hoki negara selain melihat Malaysian Tigers menampilkan permainan bertenaga di pentas Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang bermula Jumaat ini sekali gus mencerahkan peluang layak ke Piala Dunia 2018.
Berbaki empat hari sebelum saingan tersebut bermula, skuad hoki negara telah pun terlebih dahulu sampai ke London, Khamis lalu bagi menyesuaikan diri dengan cuaca di sana.
Beberapa perlawanan ujian juga diatur antaranya bertemu skuad pembangunan Great Britain pada Jumaat lalu, diikuti Wales (semalam) dan juga Kanada (hari ini) untuk memastikan momentum terbaik pemain.
Di kertas, skuad negara bakal menghadapi tentangan sengit apabila dijadualkan bertemu Argentina, England, Korea Selatan dan China.
Laluan sememangnya tampak sukar apatah lagi tiga daripada empat pasukan yang menghuni Kumpulan B bersama Malaysian Tigers terdiri daripada pasukan yang berada di ranking lebih baik.
Peluang cerah untuk mengungguli Kumpulan B sudah tentu terarah kepada jaguh dunia, Argentina yang berada di ranking pertama diikuti England (7) dan Korea Selatan (12).
Manakala, Malaysia berada di kedudukan ke-14 dunia hanya berpeluang untuk menumpaskan China yang berada di ranking tercorot.
Namun, ranking bukanlah penentu kemenangan dalam saingan kali ini dengan syarat bahawa pasukan yang melakukan ‘kerja’ dengan baik mampu mara ke pusingan seterusnya.
Ini bermakna, skuad negara juga mempunyai peluang seandainya mempamerkan permainan mantap selain tidak mensia-siakan peluang menumpaskan China dan sekurang-kurangnya melakar kejutan ke atas England atau Korea Selatan.
Bagi pengendali skuad negara, Stephen van Huizen, beliau menuntut permainan terbaik dipamerkan anak buahnya terutama dalam menghadapi perlawanan pertama menentang Argentina.
Katanya, beliau sedar keupayaan yang dimiliki Argentina namun menegaskan pemainnya juga mempunyai potensi selain berupaya menjinakkan jaguh dunia itu.
“Kuncinya adalah permainan yang baik dan jangan lakukan kesilapan jika tidak mahu dihukum oleh Argentina.
“Tetapi saya percaya pemain saya mempunyai kesungguhan selain kita juga bersedia sebaiknya bagi kejohanan ini,” katanya.
Malah, kata van Huizen, beliau menyasarkan untuk sekurang-kurangnya layak ke suku akhir bagi memastikan tempat ke Piala Dunia terjamin buat skuad negara.
“Apa yang penting kita perlu mengekalkan konsistensi di peringkat kumpulan untuk layak ke suku akhir.
“Kita tidak boleh berakhir di kedudukan paling bawah kumpulan kerana sudah pasti pintu ke saingan Piala Dunia bakal tertutup,” katanya.
Selain menentang Argentina Jumaat ini, Malaysia akan bertemu England (17 Jun), Korea Selatan (19 Jun) dan China (20 Jun).