Maaf Terengganu, memang ofsaid!
Maaf Terengganu... setelah dikaji melalui ulang tayang video, jaringan kontroversi Ahmad Nordin Alias memang ofsaid.
Keputusan yang diambil pengadil perlawanan, Mohd. Amirul Izwan serta pembantunya, Azman Ismail adalah tepat 100 peratus dan mereka melakukan tugas yang sempurna.
Dalam satu sesi penerangan yang dilakukan Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, tiada sebarang keraguan jaringan pada minit ke-89 itu tidak sah.
Ia berdasarkan Undang-Undang 11- Ofsaid, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa(FIFA) dan kedudukan Lions XII dalam perlawanan akhir wajar diiktiraf.
Menjelaskan situasi ofsaid itu umpama ‘satu dalam seribu’ dan mempunyai persamaan dengan Piala Dunia 2010 antara Afrika Selatan dan Mexico, tenaga pengajar pengadil FIFA, C. Ravichandran berkata, pujian perlu diberi kepada pembantu pengadil, Azman Ismail kerana berjaya mengesan situasi ofsaid dalam keadaan sukar.
“Jika diperhatikan kembali kepada sedutan rakaman video antara Terengganu dan Lions XII, selepas bola datang dari sepakan penjuru, bola telah pergi kepada pemain Terengganu dan dalam situasi bola disepak ke dalam kotak penalti, penjaga gol lawan telah ke depan.
“Berdasarkan ulang tayang perlahan, semasa pemain Terengganu menanduk dan posisi pemain nombor 18 Terengganu memang jelas sudah berada dalam kedudukan ofsaid kerana hanya seorang sahaja pertahanan lawan di belakangnya.
“Dalam undang-undang 11, dua pemain terakhir tidak semestinya penjaga gol dan dalam situasi ini, hanya ada seorang sahaja di belakang pemain Terengganu, jadi keputusan membatalkan gol kepada Terengganu bukan yang kontroversi malah tepat sama sekali.
“Keputusan pengadil untuk membatalkan jaringan itu bukanlah satu kesalahan kerana mengikut undang-undang lima, pengadil ada hak untuk membetulkan keputusan sebelum sepak mula.
“Dalam hal ini, mereka ada berkomunikasi menggunakan radio, tidak perlu buat Amirul berlari kepada pembantunya setelah melihat bendera diangkat,” katanya pada sesi penerangan kepada pihak media, semalam.
Keputusan pengadil, Amirul Izwan yang membatalkan jaringan Ahmad Nordin mencetuskan huru-hara di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu sebaik tamat permainan apabila ambulans dibakar di luar stadium dan banyak kemudahan lain dirosakkan.
Paling mengejutkan, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, mengancam akan menarik diri daripada baki saingan Liga Malaysia jika tiada tindakan sewajarnya daripada FAM sambil mengharap akan ada pertandingan ulangan.
Bagi menjelaskan lagi kekeliruan, Ravinchandran yang juga bekas Ketua Pengadil FAM turut menerangkan beberapa faktor lain sekiranya Ahmad Nordin tidak masuk campur tangan dalam situasi berkenaan dan peranan penolong pengadil tambahan.
“Sekiranya bola tidak ditanduk atau pemain berkenaan (Ahmad Nordin) tidak mengganggu fokus atau usaha pemain lawan, jaringan akan dibenarkan dan ini jelas berdasarkan dalam peraturan.
“Katalah kalau bola itu ditanduk oleh pemain Lions XII, ada kemungkinan jaringan akan dibenarkan kepada Terengganu.
“Selain itu, penolong pengadil tambahan yang berada di tepi pintu gol hanya bertanggungjawab menentukan bola sudah masuk ke dalam gawang atau tidak memandangkan kos untuk gol teknologi agak tinggi, mereka tiada kuasa dalam menentukan sesuatu jaringan itu ofsaid atau sebaliknya,” katanya.
Penjelasan Ravichandran itu sama dengan apa yang diterangkan oleh pengadil negara pada Piala Dunia 2010, Subkhiddin Mohd. Salleh dalam laman Facebook peribadinya kelmarin.
Subkhiddin menjelaskan, jaringan itu sememangnya ofsaid memandangkan Ahmad Nordin yang berada lebih hampir ke garisan gol pihak lawan berbanding kedudukan pemain lawan kedua terakhir dan juga bola.
Dalam situasi terbabit, Ahmad Nordin telah mengganggu permainan kerana dia telah menyentuh bola yang dihantar atau disentuh rakan sepasukannya.
Jadi sewajarnya gol tersebut dibatalkan, malah sepakan percuma patut diberikan kepada pihak lawan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.
Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, Terengganu menang 3-2, selepas tewas 1-2 pada aksi separuh akhir pertama.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit