Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mungkin terpaksa menanggung akibat ekoran kedegilan segelintir penyokong yang membakar suar dalam Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin ketika Tok Gajah seri 1-1 dengan Selangor dalam saingan Liga Super.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kesal kerana perkara itu tetap berlaku berulang kali biarpun amaran sudah dikeluarkan.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata, badan bola sepak kebangsaan itu sedang menunggu laporan berhubung insiden berkenaan.
Andai ada pihak didapati bersalah dan tangkapan dilakukan, persatuan bola sepak negeri berkenaan boleh berdepan hukuman.
“Biarpun mereka membakar suar selepas tamat perlawanan antara Pahang dan Selangor, namun perbuatan dilakukan di dalam stadium dan ia boleh mengundang masalah kepada penonton lain.
“Sekarang, kita masih menunggu laporan untuk menjalankan siasatan berhubung insiden ini. Lagi pun kita tidak boleh menjatuhkan hukuman sebab tidak tahu daripada penyokong mana dan siapa.
“Sama ada penyokong Pahang atau Selangor kita belum tahu, akan tetapi yang salah tetap salah.
“Kalau kita ada tangkapan, kita akan ambil tindakan undang-undang dan mungkin ia akan dipanjangkan kepada FAM. Terpulang kepada mereka untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Dalam perlawanan kelmarin, Pahang terlebih dulu membuka jaringan menerusi penyerang Argentina, Matias Conti pada minit ke-59.
Selangor bagaimanapun membalas dengan gol penyamaan Andik Vermanshah pada minit ke-65.
Penyokong kemudian membakar suar bagi meraikan tamatnya perlawanan biarpun mengetahui perbuatan itu menjadi kesalahan.
Mengulas lanjut, Muhammad Fuad turut menyuarakan hasrat untuk bersemuka dengan Ultras pasukan masing-masing.
“Kalau nak datang sokong dan sorak, buatlah...tiada masalah. Cuma saya nasihatkan mereka tidak melanggar peraturan sehingga mendatangkan masalah kepada persatuan bola sepak negeri masing-masing,” katanya.
~utusan~