Monday, February 16, 2015

Kopiko Purple League beri impak sukan badminton negara


SAINGAN Badminton Kopiko Purple League (KPL) yang bermula November lalu, akhirnya melabuhkan tirainya Ahad lepas.

Siapa sangka idea dicetuskan bekas pemain muda kebangsaan, Datuk Jack Koh berjaya memberi impak kepada sukan badminton negara.

Ini kerana, selama empat bulan berlangsung, Liga badminton pertama di Malaysia itu jelas dilihat mampu memberi peluang kepada pemain muda tempatan menunjukkan taring mereka di samping beraksi menentang pemain ternama antarabangsa.

Malah, penglibatan saya sebagai wartawan yang bertugas di liga ini yang bermula pada 25 November 2014 di Sports Arena Sentosa, Selangor, memberikan gambaran positif bahawa ramai pemain dari 12 kelab telah menunjukkan peningkatan prestasi disebabkan pendedahan perlawanan, media, para penyokong dan sebagainya.

Apa yang lebih menarik adalah bekas pemain kebangsaan, senior mahupun legenda badminton Malaysia kembali dengan peranan yang berlainan. Ada yang masih bermain, namun kebanyakannya menggalas tugas sebagai jurulatih dan pengurus pasukan.

Beliau pertama kali mendapat ilham menganjurkan liga ini selepas melihat kurang pendedahan dan peluang yang diberikan kepada pemain muda menyertai kejohanan badminton bertaraf profesional.

Oleh itu katanya, dengan pengalaman yang ada sebagai bekas pemain muda kebangsaan, dia tekad menganjurkan kejohanan tersebut untuk memberi peluang kepada atlet muda di peringkat negeri dan pemain bukan di bawah kelolaan Persatuan Badminton Negara (BAM)

"Ini impian saya selepas keluar BAM. Pengalaman diperoleh semasa menyertai skuad negara memberi idea untuk mengenal pasti masalah sebenar mengapa kita tidak memiliki ramai atlet yang digeruni dunia.

"Kerana bagi saya, jika kejohanan seperti itu direalisasikan, nescaya banyak faedah bakal diperoleh semua pemain badminton negara seperti mengasah bakat pemain muda, meningkatkan mutu pemain sedia ada serta memberi pendedahan kepada atlet yang tidak pernah beraksi di temasya antarabangsa untuk bersaing dengan atlet profesional dari serata dunia," katanya.

Kejayaan penganjuran KPL nyata melegakan hati Jack yang yakin kejohanan seumpama ini menghasilkan impak besar kepada pembangunan sukan tersebut di negara ini.

Jack memberitahu, banyak cabaran perlu dihadapi pihaknya dan menjanjikan saingan KPL musim kedua akan bertambah baik dan lebih menarik untuk disaksikan.

“Sejak pengumuman penubuhan liga profesional pada April tahun lalu, kita akhirnya berjaya sampai di peringkat kemuncaknya.

“Terdapat banyak rintangan untuk diatasi dan kita mengambil setiap cabaran dengan tenang sepanjang pertandingan berlangsung. Untuk masa akan datang, saya bertekad saingan KPL musim seterusnya lebih segar dan melakukan penambahbaikan.

"Saya juga gembira mimpi untuk anjurkan liga badminton profesional pertama di Malaysia menjadi realiti," katanya pada Majlis Makan Malam di Genting Highlands baru-baru ini.

Buka lebih banyak peluang

Meskipun KPL kali ini lebih banyak disertai oleh kelab di sekitar Lembah Klang, Jack bagaimanapun bercadang untuk mengadakan kejohanan badminton divisyen dua untuk memberi peluang kepada kelab badminton lain pada tahun akan datang.

“Kebanyakan kelab di Sabah dan Sarawak mempunyai minat yang tinggi untuk menyertai kejohanan ini, namun mereka mempunyai masalah dari segi kos dan logistik.

“Kejohanan seperti ini akan diteruskan setiap tahun. Bagi tahun ini ada sedikit kelemahan, tapi saya janji ia akan diperbaiki dan dipertingkatkan mutunya pada tahun hadapan,” katanya.


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget