Thursday, January 22, 2015

Walau dibenci, JDT tekad membangunkan bola sepak Johor.

 

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi mangsa kebencian beberapa pihak, termasuk media dan persatuan bola sepak lain.

Dakwaan itu dibuat menerusi kenyataan dalam Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers semalam.

“Kempen kebencian terhadap JDT tidak akan menghalang kemajuan JDT. Sikap sebegini daripada sesetengah individu, pihak media dan persatuan bola sepak yang lain cukup jelas menunjukkan mengapa bola sepak Malaysia masih di takuk lama.

“Kita merupakan satu-satunya pasukan yang membangun dan maju ke hadapan kerana sesete­ngah pasukan lain dan pihak media terlalu sibuk memerhatikan perkembangan kita.

“Kempen kebencian ini memberikan saya motivasi untuk ber­usaha lebih gigih lagi, dan me­nempa sejarah yang tidak pernah disaksikan oleh pasukan lain sebelum ini. Saya akan mengangkat JDT ke satu tahap yang lebih tinggi, itulah ikrar saya,” kata Tunku Mahkota Johor itu.

Dalam kenyataan berasingan di Facebook yang sama kelmarin, Tunku Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong JDT atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Anda semua bertanggungjawab atas kejayaan kelab ini. Kita telah berjaya mencapai banyak perkara dalam masa sangat singkat, se­perti menjuarai Liga Super Malaysia, bekerjasama dengan gergasi Jerman, Borussia Dortmund dan juga Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City (City Group), menambah baik kemudahan sedia ada serta membina fasiliti yang terbaik dan canggih untuk kelab bola sepak kita.

“Kita berjaya membuat banyak perubahan positif dalam bola sepak Malaysia dan bergerak lebih pantas daripada mana-mana organisasi bola sepak bukan sahaja di negara ini malahan juga di peringkat Asia Tenggara.

“Ini semua masih di peringkat permulaan. Saya memberi jaminan bahawa akan sentiasa ada pembaharuan yang lebih baik lagi pada masa akan datang. Sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan penaja kami atas sokongan yang diberikan. Kamulah yang bertanggungjawab membantu kami menjadi kelab bola sepak yang dikenali di lebih 184 buah negara. Terima kasih, dan ayuh sama-sama kita mencipta sejarah,” katanya.


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget