Tuesday, May 27, 2014

Izuan tak ‘khianati’ negara

Oleh Azlan Muhammad Zain
Kuala Lumpur: Kegagalan pasukan badminton negara menamatkan penantian 22 tahun untuk menjulang Piala Thomas cukup mengecewakan, namun Malaysia masih boleh berbangga dengan sumbangan anak watan yang membantu Jepun menjulang trofi berprestij itu buat kali pertama.
Biarpun ramai tidak menyedarinya, tetapi sumbangan Izuan Ibrahim ‘membantu’ Jepun menewaskan Malaysia di pentas final malam kelmarin cukup membanggakan.
Izuan yang pernah menjadi jurulatih kelab profesional Nusa Mahsuri, sebelum ini melatih dan mendidik bakat pemain perseorangan kedua Jepun, Kenton Momota yang menewaskan Chong Wei Feng 21-15, 21-17 sekali gus mencetuskan tekanan kepada kem negara kerana ketinggalan 2-1 ketika itu.
Bekas guru kelahiran Kelantan itu mula berkelana ke Jepun pada 2011 selepas mendapat tawaran melatih pemain Persatuan Badminton Ehime menerusi kelab Nusa Mahsuri dan seterusnya skuad kebangsaan negara Matahari Terbit itu sehingga 2012 sebelum kembali memberi tumpuan kepada program pembangunan di wilayah Ehime.
“Apalah sangat sumbangan saya.
 
Saya hanya menjaga Momota pada 2011.

Memang corak permainan Momota (ketika menewaskan Wei Feng) begitu.
FotoIZUAN (kanan) didik Momota sejak 2011.

Dia bijak menarik lawan mengikut rentak permainannya dan setiap pukulannya juga berkualiti tinggi.

Dia akan mencari ruang yang menyukarkan lawan membuat pukulan balas.

Bukannya Wei Feng tidak bagus, tapi Momota lebih bijak mengubah rentak Wei Feng,” katanya.
Momota muncul juara remaja dunia pada edisi 2012 selepas meraih tempat ketiga setahun sebelum itu.
Menerusi tulisannya di akaun facebook miliknya kelmarin, Izuan berkata: “Orang asyik bertanya, pasukan mana yang saya akan sokong.

Jika saya masih jurulatih kebangsaan Jepun dan Momota masih di bawah pengawasan saya, sudah tentu saya 100 peratus menyokong Jepun.
“Tapi, saya akan berdoa untuk Malaysia, negara di mana saya dilahirkan.

Memenangi Piala Thomas tahun ini tidak bermakna saya akan mengkhianati negara saya.
“Jepun mengupah saya dan mahu saya meningkatkan permainan pemain mereka.

Mereka tidak membayar saya untuk mengubah taraf kewarganegaraan.

Saya masih rakyat Malaysia, menggunakan pasport Malaysia.

Selamat berjaya Malaysia.” Malah Izuan yang mula menyertai Nusa Mahsuri pada 2002 turut menuntut ilmu untuk menjadi jurulatih pada 2008 menerusi Datuk Misbun Sidek.
Ditanya sekiranya mahu kembali dan berkhidmat untuk Malaysia, beliau berkata belum memikirkan perkara itu kerana masih banyak yang perlu dipelajari.
Recent Comments Widget