Friday, May 9, 2014

Harimau Malaya turun 3 anak tangga


Keputusan seri tanpa jaringan menentang Filipina pada perlawanan persahabatan 27 April lepas menyebabkan skuad negara jatuh tiga anak tangga dalam ranking terbaharu bola sepak dunia.

Berdasarkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam, skuad kebangsaan bimbingan pengendali sementara, Datuk Ong Kim Swee berada pada kedudukan ke-145 dunia berbanding 142 pada April.

Skuad Harimau Malaya berada di tangga 154 pada bulan Januari, 150 (Februari) dan 141 pada Mac.

Kedudukan itu meletakkan skuad kebangsaan setanding dengan pasukan seperti Lesotho (141), Belize (144), Krygyzstan (146), Singapura dan India (147) serta Puerto Rico (149).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia turun satu anak tangga untuk berada di tangga keempat di belakang Vietnam (116), Filipina (140) dan Thailand (143).

Di peringkat Asia, Malaysia turut mengalami penurunan satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-23 daripada 46 negara.

Sementara itu, naib juara Pia­la Konfederasi 2013, Sepanyol mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,460 mata.

Jerman dan Portugal turut mengekalkan kedudukan sebagai pa­sukan kedua dan ketiga terbaik apabila masing-masing mengutip 1,340 dan 1,245 mata.

Kedudukan ranking FIFA itu melibatkan 209 negara.
Recent Comments Widget