Tuesday, June 13, 2017

Ayuh Malaysian Tigers!

Ayuh Malaysian Tigers!

TIADA apa yang diharapkan peminat setia hoki negara selain melihat Malaysian Tigers menampilkan permainan bertenaga di pentas Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang bermula Jumaat ini sekali gus mencerahkan peluang layak ke Piala Dunia 2018.


Berbaki empat hari sebelum saingan tersebut bermula, skuad hoki negara telah pun terlebih dahulu sampai ke London, Khamis lalu bagi menyesuaikan diri dengan cuaca di sana.

Beberapa perlawanan ujian juga diatur antaranya bertemu skuad pembangunan Great Britain pada Jumaat lalu, diikuti Wales (semalam) dan juga Kanada (hari ini) untuk memastikan momentum terbaik pemain.

Di kertas, skuad negara bakal menghadapi tentangan sengit apabila dijadualkan bertemu Argentina, England, Korea Selatan dan China.

Laluan sememangnya tampak sukar apatah lagi tiga daripada empat pasukan yang menghuni Kumpulan B bersama Malaysian Tigers terdiri daripada pasukan yang berada di ranking lebih baik.

Peluang cerah untuk mengungguli Kumpulan B sudah tentu terarah kepada jaguh dunia, Argentina yang berada di ranking pertama diikuti England (7) dan Korea Selatan (12).

Manakala, Malaysia berada di kedudukan ke-14 dunia hanya berpeluang untuk menumpaskan China yang berada di ranking tercorot.

Namun, ranking bukanlah penentu kemenangan dalam saingan kali ini dengan syarat bahawa pasukan yang melakukan ‘kerja’ dengan baik mampu mara ke pusingan seterusnya.

Ini bermakna, skuad negara juga mempunyai peluang seandainya mempamerkan permainan mantap selain tidak mensia-siakan peluang menumpaskan China dan sekurang-kurangnya melakar kejutan ke atas England atau Korea Selatan. 

Bagi pengendali skuad negara, Stephen van Huizen, beliau menuntut permainan terbaik dipamerkan anak buahnya terutama dalam menghadapi perlawanan pertama menentang Argentina.

Katanya, beliau sedar keupayaan yang dimiliki Argentina namun menegaskan pemainnya juga mempunyai potensi selain berupaya menjinakkan jaguh dunia itu.

“Kuncinya adalah permainan yang baik dan jangan lakukan kesilapan jika tidak mahu dihukum oleh Argentina.

“Tetapi saya percaya pemain saya mempunyai kesungguhan selain kita juga bersedia sebaiknya bagi kejohanan ini,” katanya.

Malah, kata van Huizen, beliau menyasarkan untuk sekurang-kurangnya layak ke suku akhir bagi memastikan tempat ke Piala Dunia terjamin buat skuad negara.

“Apa yang penting kita perlu mengekalkan konsistensi di peringkat kumpulan untuk layak ke suku akhir.

“Kita tidak boleh berakhir di kedudukan paling bawah kumpulan kerana sudah pasti pintu ke saingan Piala Dunia bakal tertutup,” katanya.

Selain menentang Argentina Jumaat ini, Malaysia akan bertemu England (17 Jun), Korea Selatan (19 Jun) dan China (20 Jun).

Labels:

Thursday, October 8, 2015

Terima kasih Terima Kasih Azlan Misron


Pemain pertahanan kebangsaan Azlan Misron akhirnya memilih keputusan untuk bersara daripada arena Antarabangsa selepas 17 tahun menyarung jersi kebangsaan.

Azlan memiliki Kap paling banyak dalam sejarah apabila memiliki sebanyak 349 Kap bersama skuad Hoki Malaysia. Beliau mula beraksi bersama skuad kebangsaan ketika beraksi di dalam Sukan Konanwel 1998 di Kuala Lumpur.

Pemain Terengganu Hockey Team ini memilih keputusan untuk bersara selepas gagal membantu skuad kebangsaan beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.

Terima kasih Azlan Misron kerana banyak jasa disumbangkan dalam memartabatkan Sukan Hoki Negara. Jasamu pasti sentiasa tersemat di dalam hati para penyokong sukan hoki negara.


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit

    Labels:

    Thursday, July 2, 2015

    Harapan Malaysia layak hoki Olimpik berkecai selepas ditewaskan India


    Malaysia gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil apabila tumpas 2-3 kepada India pada perlawanan suku akhir Liga Hoki Sedunia (HWL) di Stadium KHC Dragons di Antwerp, Belgium.

    Kali terakhir Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik ialah di Sydney pada 2000.

    Ahad lepas, Malaysia tewas 1-3 kepada Great Britain untuk menduduki tempat ke-3 Kumpulan B,iaitu kekalahan kedua berturut-turut selepas tumpas 0-2 kepada tuan rumah Belgium pada Jumaat lepas.

    Malaysia memulakan kempen pada kejohanan tersebut dengan bergaya apabila mengalahkan China 3-2 dan menewaskan Ireland 4-2.

    Tiga pasukan teratas pada kejohanan tersebut layak secara automatik beraksi pada Sukan Olimpik 2016, manakala pasukan di kedudukan keempat masih berpeluang layak ke temasya sukan tersebut.

    Pada aksi hidup mati menentang India tadi, Malaysia dikejutkan dengan gol pembukaan India pada minit ke-3 menerusi Satbir Singh yang tidak dikawal, namun skuad negara bangkit menyamakan kedudukan melalui ketua pasukan Mohd Razie Abdul Rahim yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-11.

    Malaysia terus menampilkan aksi terbaik dan mencipta banyak peluang dengan dua pukulan sudut penalti pada suku kedua perlawanan namun sukar membolosi pintu gol India, sehinggalah pada minit ke-23.

    Shahril Saabah yang membuat penampilan pertama pada kejohanan tersebut berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk meletakkan "The Speedy Tigers" di hadapan 7 minit sebelum separuh masa pertama tamat.

    Penjaga gol Roslan Jamaluddin yang menggantikan tempat S. Kumar, yang terpaksa pulang ke tanah air berikutan kematian anak lelakinya sebelum kejohanan itu bermula, berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya India pada suku
    ke-3 permainan.

    Namun di suku ke-4 perlawanan, 2 pukulan sudut penalti daripada Jasjit Kular Singh pada minit ke-49 dan 56, meranapkan harapan Malaysia  menamatkan kemarau beraksi pada Sukan Olimpik.

    Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit

      Labels:

      Monday, April 13, 2015

      New Zealand muncul juara kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2015


      New Zealand muncul juara kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2015 selepas menewaskan Australia menerusi penalti penentuan 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Azlan Shah semalam.

      Ini adalah kali kedua New Zealand muncul juara pada kejohanan tersebut selepas melakukannya pada 2012.

      New Zealand tidak menunggu lama untuk mendahului apabila membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Andy Hayward hasil pukulan sudut penalti.

      Gol awal tersebut memberikan tekanan kepada juara dunia Australia yang terpaksa menunggu hingga minit ke-50 bagi mendapatkan jaringan hasil gol padang Jacob Whetton.

      Saingan pada suku keempat berlangsung lebih dramatik yang menyaksikan New Zealand kembali di depan hasil jaringan Hayward pada minit ke-58 sebelum Australia menyamakan kedudukan 2-2 selepas dihadiahkan pukulan penalti minit ke-60 yang dimanfaatkan dengan baik oleh Nicholas Budgeon.

      Kedudukan 2-2 terus kekal hingga tamat perlawanan sebelum kemenangan New Zealand ditentukan dalam aksi penentuan penalti.

      Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun menyampaikan hadiah kepada New Zealand manakala Australia menerima trofi naib juara daripada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

      Sementara itu, tempat ketiga keseluruhan menjadi milik India selepas menewaskan Korea Selatan juga menerusi penentuan penalti.

      Tuan rumah Malaysia menamatkan kempen Piala Azlan Shah 2015 di tempat keenam selepas kecundang kepada Kanada 1-3 dalam penentuan penalti setelah terikat 4-4 dalam permainan sebenar.

      -UTUSAN

      Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit

        Labels:

        Wednesday, March 11, 2015

        Malaysia membelasah Singapura 5-0


        Malaysia membelasah Singapura 5-0 pada aksi terakhir pusingan pertama peringkat Pusingan Kedua Liga Dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Stadium Nasional Major Dhyan Chand di sini Selasa.

        Dengan kemenangan itu, Malaysia menduduki tempat teratas Kumpulan B dan akan menentang Ghana pada pusingan kedua kejohanan tersebut.

        Malaysia tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang perlawanan berkenaan, manakala Singapura pula lebih banyak bertahan di kawasan sendiri.

        Skuad Malaysia menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama dan menambah tiga lagi selepas permainan bersambung pada babak kedua.

        Fazilla Sylvester Silin mencatat hatrik, manakala dua gol lagi dijaringkan Rabiatul Adawiyah Mohamad dan Nurul Nabiha Mansur.

        Sebelum ini, Fazilla menjaringkan satu gol, masing-masing ketika menentang Kazakhstan dan Rusia.

        Jurulatih kebangsaan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata walaupun mengharapkan pasukannya menjaringkan lebih banyak gol, beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya itu dengan menduduki tangga teratas kumpulan.

        Mengenai pertemuan menentang Ghana Khamis ini, Mohd Nasihin yakin anak buahnya tidak menghadapi masalah untuk mara ke separuh akhir.

        Diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan di belakang tuan rumah India, Malaysia berkemungkinan berdepan Poland pada peringkat separuh akhir.

        Malaysia beraksi dalam Kumpulan B bersama-sama Rusia, Kazakhstan dan Singapura manakala India, Poland, Ghana dan Thailand dalam Kumpulan A.

        -- BERNAMA

        Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit

          Labels: